Kumpulan rock lagenda negara, Wings bakal mengegarkan konsert Formula 1 Singapura yang bakal berlangsung di Marina Bay Street Circuit pada 30 September ini.
Wings bakal tampil dengan persembahan bertenaga yang ditunjangi Datuk Awie serta ahli kumpulannya, Sham, Eddie, Edrie dan Black.
Menariknya, kumpulan yang popular dengan lagu Sejati dan Taman Rashidah Utama ini akan berada dalam satu pentas yang sama dengan penyanyi terkenal Amerika Syarikat seperti kumpulan rock Green Day, Black Eyed Peas serta Kid Laroi.
Selain itu, peminat sukan permotoran itu juga bakal dihiburkan dengan persembahan kumpulan Westlife, TLC, Marshmello dan Suede.
Konsert yang diadakan selama tiga hari itu bakal memeriahkan lagi kehangatan Formula 1 Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober depan.
Singapura dan Jepun merupakan dua negara Asia sahaja yang menganjurkan Formula 1 untuk musim 2022.
Sebelum ini, Kuala Lumpur sering menjadi antara lokasi sukan elit itu sejak penganjurannya pada tahun 1999.
Kali terakhir Formula 1 berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) adalah pada tahun 2017.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.