Hiburan

Berkahwin Di Thailand Sebab Nak Cepatkan Proses, Siti Jamumall Sedia Bayar Denda

Share

Usahawan dan pempengaruh Siti Jamumall mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Aiman Tak Kesah di Thailand pada 1 Jun kerana mahu mempercepat pernikahan dengan pilihan hati.

Menurut Siti atau nama lengkapnya Siti Suriani Wahiddin, proses dokumentasi perkahwinan di negara ini kebiasaannya mengambil masa yang agak lama.

“Ramai orang tak tahu saya sebenarnya perlu terbang ke Dubai selepas batalkan perkahwinan dengan bekas tunang pada 31 Mei lalu.

“Sebagaimana yang orang tahu, urusan dokumentasi untuk berkahwin mengambil masa yang lama di sini.

“Bagaimanapun, saya tidak galakkan orang ramai untuk berkahwin di luar negara seperti apa yang saya lakukan tetapi apa salahnya kahwin di luar Malaysia.

Namun, saya sudah memberitahu keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya pada sesi sidang akhbar tergempar di Courtyard By Marriot, Setia Alam pada Rabu.

Siti juga memaklumkan duirinya tidak menyimpan apa-apa dendam dan reda walaupun terpaksa menanggung kos kerugian sebanyak RM70,000.

“Memang benar, saya kerugian hampir RM70,000 yang meliputi kos keseluruhan majlis termasuk tempahan dewan, makan dan sebagainya.

“Saya buat keputusan untuk batalkan walaupun dua hari lagi majlis berlangsung. Keputusan tidak dibuat secara terburu-buru dan saya sudah melakukan solat istikarah.

“Bagi saya siapa kita nak halang takdir, Allah yang tetapkan. Sebelum ini selalu dengar cerita orang lain hadapi dugaan bercinta dengan orang lain tetapi berkahwin bersama orang lain, siapa sangka perkara tersebut terjadi kepada saya,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, pempengaruh yang juga usahawan itu sudah menghantar borang pendaftaran pernikahan di sini dan bersedia untuk membayar denda.

Sementara itu, setelah berbincang dengan kedua belah pihak keluarga Aiman atau nama sebenarnya Khairul Aiman Ahmad Kudus, 21, memaklumkan mereka akan mengadakan majlis resepsi bagi meraikan pernikahan mereka.

Terdahulu, Siti dijadualkan bakal bernikah dengan seorang lelaki yang baru dikenalinya pada 31 Mei lalu namun terpaksa dibatalkan saat akhir atas faktor peribadi.

Difahamkan, segala persiapan juga sudah dibuat termasuklah memberikan kad jemputan kepada semua tetamu.

Sekadar info, Siti pernah berkahwin sebelum ini namun bercerai selepas empat tahun mendirikan rumah tangga. Hasil daripada perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak lelaki Putra Adam Rizki, 4, dan Putra Aiman Zafran, 2.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

 

Published by
Aizam Manaf