Berita

Berkat Taat Pada Suami, Rezeki Neelofa Melimpah – “Syukur Gembira Atas Apa Yang Diterima Isteri.”

Share

“Alhamdulillah, itu rezeki dia dan berkat taat pada suami.”

Demikian kata pendakwah bebas yang juga selebriti Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 28, susulan pelantikan isterinya juga selebriti terkenal, Neelofa sebagai duta jenama antarabangsa bagi stroller dan kerusi kereta kanak-kanak, Hamilton.

Riz berkata, dia sentiasa mengingatkan isterinya agar patuh syariah dalam apa juga perkara dibuat termasuk dalam soal penampilan.

“Saya percaya, jika kita tetapkan hati dan istiqamah dalam melakukan sesuatu perkara, insya-Allah, segalanya dipermudahkan Allah SWT. Sebagai suami, sudah tentu saya bersyukur dan gembira atas apa juga yang diterima isteri. Itu semua rezeki Allah.

“Secara peribadi, saya sentiasa menyokong apa saja perkara yang membawa kepada kebaikan bukan saja untuk dia dan keluarga tapi juga secara umum. Secara tak langsung, pelantikan isteri sebagai duta adalah bukti penerimaan orang luar terhadap tuntutan agama dan budaya kita,” katanya.

Menurutnya, soal penampilan wanita Muslimah yang tampil berhijab atau berniqab bukan lagi alasan bagi segelintir pihak untuk tidak bekerjasama dengan mereka.

Terdahulu Neelofa yang juga ibu kepada dua cahaya mata dilantik menjadi duta jenama itu pada majlis yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur.

“Kalau ditanya mengenai lamaran menjadi duta ini, saya rasa awal tahun ini. Sebelum ini, saya memang ada bekerjasama dengan beberapa jenama membabitkan barangan untuk anak.

“Jadi, mereka bertanya klien sebelum ini dan mereka dapat maklum balas baik. Jadi, mereka ‘approach’ saya. Syukur alhamdulillah,” katanya.

Untuk rekod, Riz dan Neelofa mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal, 1 tahun dan Abdullah Abbas, lima bulan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH