Berkelulusan Ijazah Ukur Bahan UTM, Penerbit Norley Aimi Nadiah Bertuah & Beruntung Dapat Tunjur Ajar Suami

Share

Tidak dinafikan, idea yang lebih segar, jalan cerita yang menarik selain pemilihan pelakon yang berkaliber menjadi antara intipati penting dalam menghasilkan sesebuah naskhah filem atau pun drama.

Bagi penerbit Mache AllStar United Sdn Bhd, Norley Aimi Nadiah Shaari, 35, mereka cukup menitikberatkan aspek berkenaan dalam penerbitan memandangkan ia kunci untuk sesebuah karya itu diterima baik penonton.

“Untuk menghasilkan sesebuah naskhah bukanlah satu perkara yang mudah memandangkan kita perlu teliti daripada pemilihan cerita, kru dan pelakon hinggalah ke proses suntingan akhir.

“Semua itu perlu berkait rapat dan perlu bekerjasama untuk menghasilkan sebuah produk yang bermutu. Kalau viral itu bonus buat semua,” katanya yang mesra disapa dengan panggilan Nadia.

Menariknya, sempena kehadiran Ramadan kali ini, dia gembira apabila tiga buah naskhah terbitannya menjadi pilihan tiga stesen televisyen tempatan.

Teruja dengan maklum balas awal yang diterima, Nadia gembira apabila kesemua pihak tersebut percaya kepada syarikat mereka untuk menerbitkan drama sempena kedatangan Ramadan kali ini.

Bermula 3 April ini, Nusyuz Berkiblat Cinta akan ditayangkan di Astro Ria dan Mem & Bibik-Bibik pula menerusi TV3 manakala Republic Of Gombak pula menghiasi slot TV9 mulai 14 April ini.

Bagi Norley, dia beruntung kerana dapat menggunakan khidmat pelakon popular untuk kesemua produk di bawah kendaliannya.

“Apabila kita datang dengan naskhah yang baik, sudah tentu pelakon juga memainkan peranan yang penting. Kami bertuah kerana dapat menggunakan nama-nama besar untuk semua drama.

“Bukan mudah untuk menyelia tiga buah penerbitan dalam satu masa. Apatah lagi dalam keadaan sekarang di mana kebanyakan pelakon terikat dengan banyak komitmen lain,” tambahnya lagi.

Untuk Nusyuz Berkiblat Cinta, mereka menggandingkan Emma Maembong dan Fikry Ibrahim sebagai teraju utama dalam naskhah mengenai kisah penderaan rumah tangga.

Manakala Mem & Bibik-Bibik pula,  Zain Saidin dan Rozita Che Wan mengemudi drama ini selain pelakon undangan seperti Nabila Razali, Iqram Dinzly, Adibah Nor, Bell Ngasri dan ramai lagi.

Drama komedi Republic Of Gombak pula mengisahkan tentang perseteruan dua keluarga yang melibatkan pelakon Farouk Husaain, Amyza Aznan, Azza Elite, Afieq Syazwan, Myra Natasha, Ayuni Rizal dan ramai lagi.

Kata Nadia, dia beruntung kerana mendapat tunjuk ajar daripada suami, yang terlebih dahulu ‘terjun’ ke dalam bidang ini.

Suaminya, Arisz Ab Rahman terlebih dahulu  bergelumang ke dalam bidang penerbitan dan telah menghasilkan banyak produk termasuklah Pujaan Hati Kanda, Lelaki Mu Yang Dulu dan Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis.

Mereka juga pernah mencetuskan fenomena dengan drama Korban Kasih dan Senduk Kuali Kak Lina Pompom yang ditayangkan di RTM dan mendapatkan respons baik daripada penonton.

“Saya masuk ke dalam bidang ini secara tidak sengaja apabila suami mula beralih arah kepada bidang pembinaan dan hartanah.

“Memang kekok daripada peringkat awal tapi dengan sokongan yang diberikan, saya mampu mengatasi dan menjalankan kerja-kerja produksi dengan bantuan suami dan staf yang lain.

“Sekarang saya selesa menguruskan syarikat dan perlu bijak membahagikan masa untuk keluarga dan anak-anak,” tambahnya lagi.

Bagi Nadia yang berkelulusan Ijazah Ukur Bahan dari UTM, tidak ada apa yang akan menghalang wanita sepertinya untuk berjaya memandangkan sudah ada contoh wanita lain yang berjaya menguruskan produksi dengan baik.

Menjadikan anak jati Kedah, Datin Zaiton Mohd Jiwa dan Alahyarhamah Datuk Maznah Hamid ‘Iron Lady’ sebagai contoh dan idolanya, dia yang berasal dari Alor Setar juga mahu duduk sama tinggi dengan mereka pada masa hadapan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH