Susulan daripada penggantungan perkhidmatan penyampai radio Hot FM, Shuk, pihak pengurusan stesen radio Hot FM mengumumkan bahawa kontrak perkhidmatan Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar ditamatkan, hari ini.

Terdahulu, kontrak perkhidmatan Shuk sebagai penyampai radio Hot FM digantung buat sementara pada 24 Januari lalu untuk memberi ruang kepada pihak pengurusan melakukan siasatan dalaman yang terperinci terhadap isu beliau yang tular di media sosial.

Hasil daripada siasatan dalaman yang dijalankan, pihak pengurusan Hot FM mengesahkan bahawa kontrak perkhidmatan Shuk ditamatkan kerana beliau didapati melanggar kontrak perkhidmatannya sebagai penyampai radio Hot FM.

Pengurus Besar Kumpulan Audiens & Pemasaran Ripple, Puan Anida Mohd Tahrim berkata, perkara itu berkuatkuasa hari ini.

IKLAN

“Kontrak perkhidmatan Shuk sebagai penyampai radio di Hot FM ditamatkan berkuatkuasa hari ini, selepas selesai siasatan dalaman mendapati berlakunya pelanggaran terma perjanjian oleh Shuk, seperti yang sudah dipersetujui di dalam kontrak perkhidmatan beliau sebagai penyampai radio Hot FM.

Shuk juga telah dimaklumkan mengenai hal ini,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Sementara itu, pihak pengurusan Hot FM turut mengumumkan segmen Geng Pagi Hot (GPH) telah tampil dengan wajah baru bermula 15 Februari menerusi gandingan Fizie dan penyampai baharu Hot FM, Mark Adam.

IKLAN

“Selepas Shuib berundur dari Hot FM, kami sudah merancang untuk memberi ‘facelift’ kepada GPH dengan kemasukan Mark Adam.

“Reputasi Mark sebagai penghibur yang versatil memberikan nafas segar untuk segmen GPH.

IKLAN

“Harapan kami agar para pendengar akan terus menyokong Hot FM dan kami menjanjikan pengisian yang terbaik buat semua khususnya pendengar setia Hot FM,” menurut Anida.

GPH bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 6 pagi hingga 10 pagi.

Shuk sebelum ini terpalit dengan kontroversi selepas tersebarnya video dia didakwa berlaku curang terhadap isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah dan didakwa mempunyai hubungan dengan wanita lain.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI