Telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow terbitan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music telah pun ditayangkan jam 9.00 malam tadi.
Bersiaran menerusi Astro Citra (saluran 108) dan Astro Citra HD, telefilem terbabit merupakan percubaan pertama kumpulan yang dianggotai oleh Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angle ini dalam dunia lakonan.
Dolla Watch Me Glow arahan Izuan Mokhtar ini diinspirasikan dari kisah benar Dolla sendiri.
Menerusi ruangan komen di akaun rasmi Dolla di Instagram, para peminat masing-masing tidak sabar untuk menonton telefilem berbabit.
Malah ada di antara mereka yang memuji persembahan mereka berlakon buat pertama kali di kaca televisyen.
Terdahulu, Pengarah Kreatif dan Penulis Skrip, Marr Mohamad menerusi satu kenyataan akui dia terkejut dengan kemampuan Dolla berlakon meski ke semua mereka pertama kali beraksi di hadapan kamera.
“Astro memberikan sepenuh kebebasan kepada Zeel Production untuk menghasilkan sebarang bentuk cerita. Tidak kisahlah sama ada kisah rekaan atau dokumentari asalkan berkisarkan Dolla.
“Mereka tertarik dengan Dolla kerana kumpulan itu mencetuskan fenomena apabila dikatakan meniru kumpulan dari Korea Selatan, Black Pink.
“Tapi setelah bertentang mata dan berbual pelbagai perkara dengan empat anggota Dolla, saya lebih tertarik untuk mengangkat kisah sebenar mereka.
“Ada pelbagai kisah menarik yang mungkin peminat tidak tahu mengenai Dolla sebelum ini,” jelasnya.
Sementara bagi pihak Universal Music pula, semestinya peluang diberikan Astro dan Zeel Production itu tidak seharusnya dilepaskan.
Pengurus Pemasaran dan Promosi Domestik, Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar menambah, peluang diberikan itu dapat membuka mata generasi baru terhadap anak seni tempatan.
“Ia satu platform yang baik untuk memperkenalkan Dolla dengan lebih dekat kepada peminat. Semestinya pihak Universal Music sangat terharu apabila pihak Astro dan Zeel berminat untuk mengangkat kisah penyanyi nanungan kami.
“Kami berharap telefilem itu dapat mengangkat dan membuka mata peminat khususnya generasi madu terhadap anak seni tempatan yang berbakat dan hebat,” katanya.