Hiburan

Berlakon Watak Isteri Dicurangi, Mira Filzah Tak Bawa Emosi Sampai Ke Rumah

Share

Melakonkan watak isteri yang dicurangi dalam drama terbaharu, Curang Tanpa Niat tidak menggugat kepercayaan pelakon Mira Filzah terhadap suaminya iaitu Wan Emir Astar.

Menurut Mira, sebagai palakon berpengalaman, dia masih mampu mengawal emosi dan tidak terbawa dengan perasaan sehingga ke rumah.

“Sejujurnya, secara peribadi, saya tahu perkahwinan saya macam mana. Jadi, saya tidak mencampurkan antara urusan kerja dan peribadi.

“Setakat ini, tidak pernah timbul sebarang rasa yang tidak selesa di dalam diri selepas berlakon drama ini.

“Suami pun tahu tentang watak saya ini. Malah, dia juga sangat menyokong,” katanya kepada MH.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Curang Tanpa Niat, baru-baru ini.

Drama ini mengisah tentang konflik yang perlu dihadapi oleh isteri apabila suaminya menjalinkan hubungan dengan rakan sekerja atau bahasa modennya dipanggil ‘office wife’.

Ditanya mengenai tindak tanduk yang boleh dianggap sebagai curang, Mira menyifatkan setiap pasangan mempunyai perspektif yang berbeza.

“Perkara ini sangat susah untuk dijelaskan. Mungkin bagi segelintir pihak, perbuatan ‘A’ ini boleh dianggap curang. Bagi orang lain, mungkin tidak.

“Jadi, untuk saya menghuraikan tindakan manakah yang betul atau salah, itu agak susah.

“Bila bercakap soal hubungan perkahwinan, komunikasi diantara suami dan isteri memang sangat penting. Ada pasangan yang memang ‘chill’, relax dan okay dengan segala hal.

“Namun, ada juga pasangan yang sangat menjaga setiap tindak tanduk,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mira turut berpandangan setiap pasangan suami isteri harus menjaga batas pergaulan agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

“Sebagai individu yang sudah berkahwin, kita memang kena menjaga batas pergaulan. Itu hal yang paling penting. Bila sudah berkahwin, status kita pun sudah berubah daripada cik ke puan.

“Ditambah pula bila kita punyai anak. Tanggungjawab itu sangat berat,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, Mira turut mendedahkan dia dan suami akan sentiasa berkomunikasi untuk berbincang tental segala hal dalam rumah tangga.

“Kami memang meletakkan kepercayaan diantara satu sama lain. Kami juga sentiasa berkomunikasi. Kami berbincang tentang apa yang boleh dan tidak boleh,” akhirinya.

Terdahulu, drama Curang Tanpa Niat bakal bersiaran bermula 23 Disember depan di saluran Astro Ria dan platform penstriman Astro Go dan sooka.

Selain Mira, drama arahan pengarah Eyra Rahman ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Shukri Yahaya, Sharifah Sakinah, Evertts Gomes dan Azqa Aziz.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf