Usaha pendakwah bebas Ustaz Uwais Qorny bersama pasukannya berjaya mencipta sejarah apabila program The 24 Hours Non Stop Uwais Qorny’s Online Talaqqi telah diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR), baru-baru ini.
Program tersebut dianjurkan pada sambutan tahun baharu 1 Januari lalu itu turut diiktiraf menerusi jumlah penyertaan tertinggi untuk program Talaqqi yang diadakan secara maya dengan melebihi 17,000 penyertaan.
Menurut Uwais, program talaqqi al-Quran anjuran Protaz International Sdn. Bhd. itu telah diadakan secara percuma selama 24 jam menerusi aplikasi Zoom bermula dari 7.27 pagi 31 Disember 2021 hingga tamat pada sekitar pukul 1 tengah hari 1 Januari 2022.
“Idea untuk mengadakan program ini datangnya daripada pengikut di media sosial dan para pelajar. Sebenarnya saya jarang adakan kelas Talaqqi sehinggalah satu hari saya ajak pengikut untuk sertai kelas Talaqqi yang berjaya tamat sebelum azan Subuh.
“Alhamdulillah ketika itu hampir 1,000 peserta masih setia bersama. Kemudian datanglah idea ini apabila nak buat kerja ‘gila’ menjelang tahun baru. Dalam tempoh 10 hari kami nekad adakan program ini dan tak sangka mendapat maklum balas yang sangat positif daripada orang ramai.
“Lebih menggembirakan saya mendapat energi yang sangat hebat daripada peserta yang majoritinya dalam kalangan warga emas. Mereka ini sanggup ajak anak dan cucu untuk sertai sekali,” katanya.
Malah diharapkan rogram tersebut dapat meningkatkan kesedaran umat Islam untuk memelihara keaslian bacaan al-Quran, secara tidak langsung.
“Antara tujuan utama saya adakan program ini adalah nak beri kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya membaca al-Quran dengan betul selain memahami pengertian setiap bacaan.
“Jadi salah satu caranya adalah dengan bertalaqqi.
Talaqqi secara mudahnya adalah berguru, dan jika dilihat masyarakat sekarang berguru melalui buku dan internet. Tetapi untuk membaca dan mempelajari al-Quran, perlu untuk pelajarinya dengan guru agar dapat menentukan sebutan dan tajwid yang betul.
“Saya harap peserta yang setia sehingga program ini tamat dapat menambah baik bacaan al-Quran mereka,” katanya optimis.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI