“Bermula Dengan Kahak Dan Terus Ke Paru-Paru,” – Baru 7 Hari Usianya, Anak Kedua Shuk Ditahan 10 Hari Di Hospital

Share

Kira-kira 10 hari berkampung di hospital gara-gara kedua-dua anaknya mengidap jangkitan pada paru-paru dan demam denggi, Shuk memaklumkan, pada mulanya dia dan isteri berkunjung ke hospital untuk memeriksa demam kuning si kecil.

Bagaimanapun, situasi menjadi berbeza apabila mengetahui simpton lain yang dihadapi permata hatinya itu.

Shuk berkongsi cerita ketika ditemui pada sidang media Taklimat Media Pop Yeah Yeah di Public Space, Balai Berita NSTP, Bangsar.

Waktu si kecil baru berusia 7 hari dia dimasukkan ke wad kanak-kanak kerana jangkitan paru-paru. Dan kebetulan anak sulung juga mengidap jangkitan yang sama, ditambah dengan demam denggi. Jadi kami berkampung selama 10 hari di hospital.

“Balik kerja, mandi dan makan semuanya di hospital,” ulasnya kepada MH.

Mengimbau detik mencemaskan minggu lalu, kata penyampai radio ini, jangkitan tersebut difahamkan bermula dengan kahak.

Menurut doktor, jangkitan ini agak serius bagi bayi. Ia bermula dengan kahak dan terus ke paru-paru. Jadi dia tidak boleh bernafas dengan normal dan memerlukan bantuan oksigen.

“Namun walaupun serius namun keadaan anak saya stabil kerana dapat dikesan daripada awal,” katanya.

Tambah pelakon Adnan Sempit 2 ini lagi, ibu bapa yang punya anak kecil harus lebih berjaga-jaga dengan keadaan anak.

Pesan saya kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil, jika keadaan mereka kurang aktif dan tidak bermaya, segeralah ke hospital.

“Kerana bayi tidak tahu berinteraksi untuk menyatakan kesakitan, sebab itu ibu bapa kena sentiasa berjaga-jaga,” tegasnya.

Menyambut kehadiran anak kedua lebih mudah kata pelawak ini, meski bersedia menyumbang tenaga berjaga malam, namun si isteri sangat komited dalam menunaikan tanggungjawab terhadap si kecil.

Pengalaman kedua ini lebih mudah. Isteri pula seorang yang komited dan memberi fokus 24 jam untuk anak-anak. Jadi saya hanya membantu apabila diperlukan.

“Alhamdulillah rezeki saya semakin murah, lebih-lebih lagi dengan kehadiran anak kedua baru-baru ini.

“Saya percaya dengan rezeki anak dan sekarang saya menumpang rezeki dia,” ulasnya lagi.

Shuk dan Rossalennah atau Sera mendirikan rumah tangga pada 20 Disember 2015 di Kampung Ulu Sapi, Beluran Sandakan, Sabah dan dikurniakan dua cahaya mata.

Pop Yeah Yeah  merupakan sitcom dunia hiburan 60-an yang menampilkan Datuk AC Mizal, Emelda Rosemila, Shuk Sahar, Izzue Islam dan Oktovia Manrose.

Published by
Noraini Abd Wahab