Sejak semalam, nama penyanyi dan penulis lagu terkenal, Datuk M Nasir menjadi bualan hangat warganet apabila ikon muzik tersebut dikaitkan untuk menyertai pasukan esukan, RSG MY.
Pada mulanya, ramai yang menyangkakan perkhabaran tersebut hanyalah gurauan atau ‘prank’ sehinggalah berita itu disahkan apabila nama M Nasir diperkenalkan di laman Instagram rasmi RSG MY.
Memetik laporan Harian Metro, Pengurus Komuniti RSG MY, Mohamad Zawir Zakari memberitahu, nama M Nasir sudahpun didaftarkan sebagai pemain baharu pasukan tersebut.
“Memang kita mendaftarkannya M Nasir sebagai pemain. Selain itu beliau juga berperanan untuk memberi motivasi kepada pemain-pemain lain. Ini memang bukan ‘prank’,” katanya seperti yang dipetik.
Jelas Zawir lagi, keputusan mengambil M Nasir selaku pemain bukanlah dibuat secara terburu-buru sebaliknya hal tersebut memang sudah lama berada didalam perancangan pasukannya itu.
“Memang sudah lama rancang tapi pengumuman ini memang baru lagi. Lagi pun akan ada pengumuman senarai pemain petang ini iaitu siapa yang bakal beraksi di MPL MY musim ke-10,” ujarnya lagi.
Ketika diperkenalkan, RSG MY memuat naik gambar berbentuk kad permainan dengan wajah M Nasir yang dilihat segak memakai jersi rasmi pasukan mereka.
“Mentera Semerah Padi. Seorang lagenda, seorang ikon negara, dan sekarang, sebagai pemain Mobile Legends:Bang Bang (MLBB) RSG dengan IGN Sifu!
“Selamat datang kepada salah seorang pemain flex role kami Datuk M Nasir,” kata RSG MY yang pernah muncul juara MPL MY musim ketujuh selepas menumpaskan Todak 4-2.
Ketika ini, kesemua pasukan sedang giat mempersiapkan pemain dan tektikal bagi menghadapi, saingan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Musim ke-10 yang bakal bermula tidak lama lagi.