Boleh dikatakan salah seorang selebriti kacak yang sentiasa menjadi tumpuan ramai peminat perempuan, apa sahaja gerak-geri yang dilakukan MK K-Clique pantas meraih perhatian ramai.
Sebelum ini tular mengenai video MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 26, yang dilihat berpimpin tangan dengan seorang wanita kini dikatakan rapat dengannya yang dikenali sebagai Hajar Siti.
Mengulas mengenai isu tersebut, MK berkata dia bukan sengaja mahu memegang tangan wanita tersebut sebaliknya pada ketika itu mereka sedang mengejar masa untuk menghadiri jemputan rumah terbuka Aidilfitri.
“Isu pegang tangan ini sebenarnya ada sesetengah berpendapat salah. Kita faham… tetapi dalam keadaan itu, keadaan yang huru-hara, kelam kabut.. kami dah lambat. Kami nak cepat. Benda itu automatik (pegang tangan).
“Depan saya ada kakak, tepi adik beradik saya. Nak tunjuk mesra, (kami) belum boleh mesra,” katanya kepada MH.
MK ditemui pada majlis tayangan filem 7 Minggu Sebelum Kahwin yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Selasa.
Sementara itu, MK enggan mengulas lanjut mengenai status dirinya kini namun berjanji tidak akan berahsia dengan pihak media dan peminat sekiranya sudah sampai masa untuk mendirikan rumah tangga.
“Tidak la, saya tak akan diam-diam. Benda ini (kahwin) kena uar-uarkan.
“InsyaAllah dah sampai masa, saya dah bersedia (akan dikongsi),” katanya lagi.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, MK kini tampil dengan filem terbaharu berjudul 7 Minggu Sebelum Kahwin bergandingan dengan Nora Danish.
Selain MK dan Nora, filem yang akan ditayangkan di saluran Astro First bermula 7 Julai depan itu turut dibintangi Alya Iman, Sham Visa, Yassin Yahya, Ropie dan Vanessa Reynauld.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram MK