Tiada siapa yang mendirikan rumah tangga, mengharapkan perpisahan di pengakhiran jalan.
Namun, jika sudah tertulis suratan jodoh setakat itu sahaja, siapalah kita untuk melawan takdir Tuhan.
Tahun 2022 juga memperlihatkan bahtera perkahwinan beberapa selebriti melalui detik hitam apabila terpaksa berakhir dengan penceraian.
Di sini, MH rangkumkan perpisahan selebriti yang mendapat soroton sepanjang tahun ini.
1. Siti Saleha & Ahmad Lufti
Perkahwinan yang dibina pelakon kacukan Melayu-Inggeris, Siti Saleha Baharum, 32, hanya mampu bertahan selama lima tahun sahaja sebelum kedua-duanya mengambil keputusan untuk berpisah secara baik.
Saleha sah bercerai talak satu dengan suami, Ahmad Lufti Azhar di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pada 17 Januari 2022.
Pasangan ini berkahwin pada 28 Julai 2017 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
2. Ellie Suriaty & Azri Iskandar
Selepas 19 tahun hidup bersama, pasangan pelakon Ellie Suriaty, 52, dan Azri Iskandar, 54, mengambil keputusan meletakkan titik noktah dalam perhubungan mereka.
Ellie dan Azri disahkan bercerai pada 17 Mei 2022 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur.
Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azreel Omar, 18, dan Nur Azreen, 13 tahun.
3. Ashira & Bad Indigo
Mula berkenalan rapat ketika sama-sama terlibat dalam program Gegar Vaganza kelapan (GV8), Ashira dan Bad Indigo kemudiannya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada Mac 2021.
Namun, hubungan mereka tidak kekal lama selepas mengambil keputusan untuk berpisah pada Jun 2022.
Ashira dan Bad tampil membuat pendedahan mengenai penceraian mereka menerusi rakaman sebuah video yang dikongsikan di laman Instagram masing-masing.
4. Mizz Nina & Noh Salleh
Pasangan selebriti, Mizz Nina dan Noh Salleh mengesahkan mereka sudah bercerai pada Ogos 2022.
Kedua-duanya berkongsikan kenyataan rasmi mengenai perpisahan itu di laman Instagram masing-masing buat makluman umum.
Pasangan itu dilaporkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur.
Nina ata Shazrina Azman, 42, dan vokalis kumpulan Hujan itu diijabkabulkan pada 1 Julai 2011. Mereka mempunyai seorang anak angkat lelaki yang diberi nama Musa.
5. Nad Zainal & Faliq Amiruddin
Pelakon Nad Zainal mengesahkan dia sudah bercerai dengan bekas suami, Faliq Amiruddin pada September lalu.
Berkahwin pada 18 Disember 2015, aktres itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, 1 tahun.
Walaupun sudah tidak lagi bersama, hubungan Nad dan bekas suami kekal baik demi dua anak mereka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.