Berbekalkan 27 tahun pengalaman dalam industri nasyid, kumpulan Raihan sememangnya layak digelar antara barisan artis lagenda tanah air.
Membuat kemunculan dalam Konsert Garis Masa Raihan yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada malam Sabtu, ternyata riak kepuasan tergambar di wajah peminat setia kumpulan itu yang mula bertapak pada tahun 1996.
Tepat jam 8.45 malam, Raihan mengambil alih pentas dengan kemunculan tiga ahli kumpulannya iaitu Che Amran, Abu Bakar dan Amran Ibrahim.
Sebanyak 21 buah lagu dimainkan yang mana kebanyakannya turut dinyanyikan bersama lebih 3,000 penonton yang menghadiri konsert tersebut.
Tanpa bicara yang panjang, Raihan mengalunkan lagu-lagu hit mereka seperti Puji-Pujian, Syukur, Demi Masa, 25 Rasul, Iktiraf dan Sesungguhnya.
Menariknya, komposisi dan susunan muzik konsert Garis Masa ini benar-benar cukup memuaskan sehingga ada peminat yang menyifatkan ia setaraf seperti konsert artis antarabangsa.
Dibantu dengan barisan pemuzik berpengalaman termasuk pemain percussion terkenal dunia, Steve Thornton dan Rody Kristal selaku gitaris, menyaksikan konsert itu bergema dengan alunan muzik hebat yang mengangkat mesej-mesej positif dan kerohanian yang terkandung dalam karya-karya Raihan.
Raihan tidak melupakan lagu-lagu berbahasa asing mereka seperti Ching Ai Ching Ai (Mandarin), Allahu (Tamil) dan Bit Taqwa (Arab).
Selain itu, lagu Assolatuwassalam yang disampaikan dalam bentuk acapella diiringi beatbox antara kelainan yang ditampilkan pada malam tersebut.
Raihan turut menzahirkan penghargaan mereka buat peminat yang tidak pernah jemu menyokong malah turut merasa terharu apabila ramai dalam golongan muda turut mengenali mereka.
“Terima kasih sudah menyokong Raihan selama 27 tahun ini.
“Seronok juga melihat ada penonton yang hadir membawa anak-anak kecil ke konsert kami. Paling terharu ada golongan muda kenal dan meminati kami,” kata Abu Bakar mewakili rakan yang lain.
Raihan kemudiannya melabuhkan tirai konsert dengan dendangan lagu ‘wajib’ mereka, Iman Mutiara yang ditunggu-tunggu ramai.
Keseluruhan stadium bergema dengan iringan ‘sing along’ daripada penonton selain disimbahi pancaran lampu dari telefon pintar masing-masing.
Konsert Garis Masa Raihan ini merupakan persembahan berskala besar pertama kumpulan itu tanpa penyertaan bekas penyanyi utama iaitu Nazrey Johani.
Kali terakhir Raihan mengadakan konsert berskala sama adalah pada tahun 2000.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.