Tahniah diucapkan buat pelakon cantik, Nynaa Harizal yang sah bergelar isteri kepada lelaki pilihan yang juga Ketua Pengarah Kewangan, sebuah syarikat pelaburan, Fahmi Ilyas pada 28 Ogos lalu.
Nynaa atau nama sebenarnya, Nurul Hanynaa Harizal,25, berkata, dia dan suaminya yang berusia 29 tahun itu sebenarnya merancang untuk mengadakan majlis akad nikah pada Julai lalu, namun hajat itu terpaksa ditangguhkan.
“Kami merancang mengadakan majlis akad nikah di sebuah hotel di ibu kota, Julai lalu. Sehari selepas nikah, kami merancang mengadakan majlis resepsi.
“Namun, ia terpaksa ditangguhkan berikutan situasi tidak mengizinkan.
“Jika ikutkan, persiapan kahwin sudah dilakukan buat sejak Mei lalu. Akhirnya, saya dan suami terpaksa meneruskannya.
“Kami bertunang dahulu pada 21 Ogos lalu, disusuli dengan majlis akad nikah pada Sabtu lalu,” katanya menerusi laporan BH Online.
Pelakon drama Kekasih Paksa Rela dan Chandelier itu berkata, dia dan suami sepakat melakukan perkara yang wajib terlebih dahulu dan majlis dijalankan secara kecil-kecilan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di ibu kota.
Pada majlis berkenaan, pihak pengantin perempuan menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dan mas kahwin dirahsiakan.
“Kami bertemu pada majlis hari lahir seorang rakan baik. Bagaimanapun, kami hanya berkawan biasa, tidak membabitkan apa-apa perasaan.
“Bagaimanapun, selepas sekian lama tidak bertemu, kami terserempak di sebuah acara dan mula menjadi rapat.
“Sudah takdir, hubungan kami berpanjangan hinggalah disatukan sebagai suami isteri,” katanya.
Nynaa pada masa sama menambah, suaminya turut memberi sokongan buatnya dalam bidang seni.
Beberapa momen terindahnya bersama suami turut dikongsikan di laman Instagram.
Sumber, Foto: Berita Harian, Instgaram Nynaa Harizal