Tiada apa yang mampu diperkatakan apabila disoal tentang kes kecurangan melibatkan selebriti yang semakin menjadi-jadi ketika ini.
Ajak ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Ajak & Rakan-Rakan With Anak-Anak Yatim Yayasan Chow Kit di Aloft Hotel Kuala Lumpur, menegaskan, dia tiada hak memberi komen.
Bagaimanapun, hos Melodi ini tidak juga menafikan dia pernah menjadi sasaran godaan golongan wanita.
“Sebenarnya saya takut nak cerita kisah curang sebab hati manusia berbolak-balik.
“Dia macam dugaan. Kalau kita cakap kita setia sangat, tiba-tiba digoda, kita tewas pula. Tapi buat masa ini, alhamdulillah saya berada di jalan yang betul,” katanya jujur.
Diaju persoalan mengenai godaan yang diterima dengan lebih terperinci, Ajak mengakui pernah menerima foto tidak senonoh dihantar menerusi media sosial.
“Saya pernah dapat gambar bogel. Tapi jangan tak tahu, akaun Instagram saya dijaga oleh isteri.
“Malah hingga sekarang pun masih dapat gambar bogel. Meski tak pernah sorokkan status, tapi masih lagi banyak yang mesej gambar tidak senonoh dan ajak buat hal yang bukan-bukan.
“Selalunya isteri akan tutup bahagian yang tak sepatutnya, tunjukkan kepada saya dan dia block akaun tersebut.
“Ada juga yang hantar gambar bertudung, namun tidak memakai apa-apa di bahagian dada. Nasihat saya, cukup-cukuplah,” luahnya mengakui kadang kala hal begini membangkitkan perselisihan suami isteri.
Sementara itu, ditanya mengenai perpisahan rakan selebriti melibatkan Bella Astillah dan Aliff Aziz, Ajak mempunyai pandangannya sendiri.
“Kita tahu Aliff sedang diuji, banyak yang menghentam dan bercakap. Pada saya memang dia buat silap.
“Tapi kita semua jangan menghukum dia seolah-olah kita ni tiada silap langsung. Namun, tidaklah saya menyokong dia. Dan Bella patut dipuji kerana dia wanita yang hebat.
“Berbalik kepada diri saya, alhamdulillah, semoga saya terus istiqamah begini. Saya bahagia tengok wajah isteri dan anak-anak. Biarlah sampai ke tua. Saya nak membesar dan hidup dengan mereka.
“Lagipun hidup saya dalam industri ni hanya menumpang sahaja. Sebelum ini saya bukan sesiapa. Saya hanya tentera dan tiba-tiba dalam masuk dalam bidang ini. Saya pun tak kelakar mana.
“Inilah rezeki anak-anak yang Tuhan beri melalui saya. Saya tumpang sahaja,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ajak bakal melancarkan single kedua berjudul ‘Yang Mano’ tidak lama lagi.