Penyanyi Khai Bahar akhirnya ubati kekecewaan peminat apabila bakal menjayakan Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar yang bakal berlangsung pada 12 Februari depan.
Sebelum ini, umum mengetahui konsert sulung penyanyi berkenaan yang dijadual berlangsung pada Mac tahun lalu dibatalkan selepas ia tertunda ekoran penularan wabak COVID-19 dan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Konsert anjuran syarikat Nova Music itu bakal diadakan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama.
Menurut Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul, dia teruja dan terharu apabila pihak Nova Music sudi bekerjasama seterusnya memilih dirinya untuk menjayakan konsert tersebut.
“Apabila saya mendapat tawaran mengadakan konsert tahun lalu, bagi saya ia satu peluang keemasan. Namun, perancangan Allah SWT itu lebih baik.
“Saya menganggap belum ada rezeki untuk buat konsert apabila ia terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu dan selepas berbincang dengan semua pihak biarpun ketika itu sudah banyak persiapan dilakukan. Apa pun saya memandang ia dari sudut positif.
“Saya juga percaya setiap apa yang terjadi itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Alhamdulillah, saya mendapat tawaran daripada pihak Nova Music yang mahu menganjurkan konsert saya.
“Kata orang, besar tapak tangan nyiru saya tadahkan. Pelawaan itu saya anggap rezeki buat saya. Selepas membuat perbincangan, pasukan saya bersetuju untuk membuat konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar ini,” katanya.
Penyanyi yang sinonim menerusi lagu Bayang ini turut berharap semoga persembahan tersebut nanti mampu menebus kerinduan dan kekecewaan peminatnya.
“Diakui ramai sedih dan kecewa apabila konsert yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya dibatalkan. Saya pun tidak tahu nak memberi reaksi macam mana, sebab saya sendiri juga sedih. Macam dikatakan, saya anggap ia belum rezeki.
“Namun, kehadiran Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar ini saya harap dapat mengubat kesedihan mereka. Saya bersama pasukan dan pihak penganjur akan cuba memberikan yang terbaik.
“Biarpun lokasi persembahan tidak dapat memuatkan jumlah yang ramai, sekurang-kurangnya impian dan hasrat saya serta peminat untuk menjayakan persembahan berskala besar tercapai.
“Tipulah jika dalam kerjaya seseorang penyanyi dia tidak mengimpikan sesuatu yang besar dalam karier seni. Begitu juga saya, di mana mengadakan konsert ini satu daripada cita-cita yang belum tercapai. Jadi, doakan semoga segala perancangan menuju konsert ini dipermudahkan Allah SWT,” ujarnya lagi.
Sementara itu, penerbit dan penganjur konsert, Rosmin Hashim berkata, pemilihan Khai adalah tepat kerana penyanyi itu mempunyai kekuatan peminat luar biasa selain banyak menjalin kerjasama dengan syarikat rakaman Nova Music dan Seventeen Eleven Music.
“Kenapa Khai? Ini kerana dia antara penyanyi muda yang banyak lagu hits dan berjaya selain mempunyai peminat yang ramai.
“Kalau kita sebut nama Khai Bahar, memang cukup dikenali. Dia mempunyai kelompok peminat dari semua golongan dan peringkat umur. Selain itu, dia antara penyanyi yang bersih dari sebarang kontroversi,” katanya.
Ditanya adakah penganjuran Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar itu disebabkan pembatalan konsert Khai terdahulu, Rosmin berkata ia berlaku secara kebetulan.
“Itu bukan punca kami buat konsert ini. Tak terfikir pun perkara itu. Cuma, kami berasakan sudah sampai waktunya kami menganjurkan konsert berskala besar.
“Lagi pula aktiviti persembahan pentas dan konsert kini sudah pun dibenarkan berlangsung. Orang ramai pun dahagakan hiburan persembahan secara langsung. Jadi, tidak salah kami mengorak langkah ini.
“Kami berasakan dia penyanyi yang tepat untuk buat konsert ini. Perancangan buat konsert ini pun secara kebetulan dibuat pada Oktober lalu. Selepas kami berjumpa dan berbincang dengan pasukan Khai, alhamdulillah, mereka terima pelawaan kami,” katanya.
Konsert ‘Nafas Cinta’ Khai Bahar bakal diadakan secara hybrid fizikal dan virtual live. Ini membolehkan bukan sahaja peminat Khai Bahar dari Lembah Kelang untuk menonton konsert ini malah peminat beliau dari seluruh Malaysia dan rantau Asia.
Selain Khai, konsert ini turut menampilkan Aina Abdul dan Adira Suhaimi sebagai penyanyi jemputan.
Tiket konsert secara fizikal yang dijual dengan harga RM189.90 dan maklumat lanjut mengenainya boleh layari https://onetix.com.my/ manakala tiket tontonan konsert secara virtual yang dijual dengan harga RM69.90, RM79.90 dan RM89.90 boleh di beli dengan melayari https://www.cloudtheatre.com/my/.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.