Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali, 20, mendedahkan, dia sudah lama pasang niat untuk berhijab dan mulai bertudung sepenuhnya sejak dua hari lalu.
“Sudah lama niat untuk bertudung. Cuma saya buat keputusan sepenuhnya untuk tampil dengan imej baharu ini sejak dua hari lalu,” katanya kepada MH.
Ditanya apakah yang membuatkan dirinya mahu istiqomah dengan imej baru, bintang ini mempunyai jawapannya sendiri.
“Hidayah yang Allah berikan itu sebenarnya sudah lama dan saya ada terbaca suatu kenyataan iaitu jika Dia sudah berikan hidayah pada kita sudah lama, tetapi kita buat-buat lupa akan hidayahNya, begitu juga dengan doa yang kita pohon sepertinya tidak dimakbulkan.
“Jadi sebab itulah saya tekad untuk mengenakan tudung dan kalau ada yang tanya saya berbuat demikian hanya kerana bakal mendirikan rumah tangga, rasanya lebih baik saya pakai sejurus bergelar isteri,” kongsinya lagi.
Tiada paksaan dari mana-mana pihak, ia hadir daripada hati yang ikhlas.
“Saya betul-betul sudah pasang tekad selepas Subuh semalam. Pada masa sama, sudah tiba masa untuk saya buat yang terbaik demi Dia, keluarga dan diri sendiri,” ujarnya jujur.
Terdahulu, pelakon Mr. Grey itu ditemui media sewaktu sesi Pengumuman Khas Senarai Top 20 Anugerah MeleTOP Era di Malam Eksklusif MeleTOP di Astro, Bukit Jalil.