Rahsia hati, jodoh, dan berseminya cinta hadir tanpa diduga. Cinta yang tulus tidak mengenal halangan dan jika dua hati itu sudah ditakdirkan seia, bermakna jodoh mutlak itu milik mereka.
Demikianlah ceritera cinta pelakon, pengacara, dan penyanyi Harris Alif, 21, bersama pelakon jelita, Intan Ladyana, 38.
Siapa sangka, selepas mula menyulam cinta sejak Mac tahun lalu, hubungan pasangan ini bakal berakhir ke jenjang pelamin. Memilih tarikh 6 Februari 2021 sebagai hari bahagia untuk pernikahan mereka, tentu sekali pasangan ini diulit kebahagiaan tidak terhingga.
Restu daripada kedua pihak keluarga juga termeterai.
Bakal disatukan di sebuah masjid di ibu kota, Kuala Lumpur, Harris dan Intan tidak dapat menyembunyikan kegembiraan untuk beralih ke fasa perkahwinan.
Dua hati kini berjanji untuk seia sekata melayari perjalanan baharu sebagai pasangan suami isteri. Tentu sekali, ikatan cinta antara mereka jauh lebih kukuh untuk bersemi sehingga ke jannah.
“I saw that you were perfect and so I loved you. Then I saw you were not perfect and I love you even more.” – Harris
Tiada kata yang mampu diungkapkan Harris buat bakal suri hatinya selain ucapan alhamdulillah.
Demikian juga Intan yang pastinya berbunga hati lantaran mendapat restu kuat daripada pihak keluarganya. Pintu hatinya berjaya diketuk sang jejaka yang benar-benar membawa erti kebahagiaan dan cinta sejati buat dirinya.
“Started to love you, I realized that I have never loved anyone like this before.” – Intan
Mengimpikan hari bahagia yang bermakna, impian pasangan ini turut bakal direalisasikan ramai pihak penaja sepanjang empat acara penting mereka.
Acara itu termasuk malam berinai, majlis pernikahan, resepi, dan majlis bertandang. Lebih menarik, penaja yang terbabit bukan calang-calang namanya.
Bagi persalinan mereka nanti, Dato Riffai akan menaja busana Harris dan Intan untuk malam berinai dan nikah, Hatta Dolmat (resepsi), Khairi Sufi (potong kek) dan Jimmy Couture serta Khai BK (majlis bertandang).
Sementara, tata rias pula bakal dikendalikan barisan jurumekap tersohor, Bellahudd, Zulfadhly, Iansham, dan Cuki Ajis, manakala Emmie Lee selaku jurudandan.
Tidak ketinggalan, pasangan itu juga bakal menyarung barangan kemas jenama terkemuka, Ceres Jewel bernilai RM13.5 juta pada majlis pernikahan serta resepsi.
Dekorasi pelamin daripada Afeer KL, Anna Weddings, dan Wedding By Emma untuk setiap majlis berbeza itu. Untuk fotografi dan videografi pula, tanggungjawab itu digalas Fillea Studio dan Shahril Omaq.
Menjalin cinta hampir setahun, pasangan ini mengumumkan secara terbuka mengenai hubungan mereka tahun lalu. Meski jurang usia 17 tahun membezakan mereka, bukan alasan atau halangan untuk mengakhiri hubungan ke jenjang pelamin.
Benarlah kata pepatah, jodoh itu rahsia Allah. Harris dan Intan sudah ditakdirkan bersama.
Teristimewa sebelum hari bahagia mereka, Harris juga terlebih dahulu melancarkan lagu baharunya berjudul Anugerah yang semestinya didedikasikan buat jantung hatinya itu. Justeru, ia memberikan lebih makna tersendiri buatnya.
Apapun, menurutnya Anugerah adalah sebuah lagu cinta yang benar-benar boleh dikaitkan dengan kisah cinta sesiapa jua.