Pelakon Yusuf Bahrin, 29, mengakui pada awalnya dia meletakkan sasaran untuk mendirikan rumah tangga pada usia 35 tahun.
Ini kerana pada usia sedemikian, dia pada ketika ini mungkin sudah cukup stabil untuk mencari wanita sebagai calon isteri.
“Jujurnya, perancangan saya untuk kahwin pada usia 35 tahun. Kerana pada usia tersebut insyaAllah saya sudah ada rumah sendiri, perniagaan dan sebagainya.
“Tapi itulah aturan Allah SWT, menggerakkan hati saya untuk terus mendirikan rumah tangga.
“Dia berikan saya rezeki untuk berkahwin, jadi saya soal umur itu tidak menghalang,” katanya.
Pelakon drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa itu menambah, karektor dia dan isteri, penyanyi Zizi Kirana, 36, juga berbeza dan kerana itulah mereka saling melengkapi.
“Kalau nak diikutkan pun, dari segi perwatakan Zizi tak kena dengan umur, nampak dia lebih muda berbanding saya. Dari situ tidak mengapalah… saya okay sahaja.
“Inilah jodoh orang bilang, InsyaAllah. Yang penting hati dan keikhlasan. Kalau ikhlas jujur, memang serius teruskan saja. Beza usia kami tujuh tahun,” katanya lagi.
Sementara itu, Zizi pula menjelaskan sikap Yusuf yang matang membuatkannya selesa di sampingnya.
“Dia lebih matang, malah bila berbicara pun tak ubah seperti ‘bapa-bapa’,” katanya ringkas.
Pasangan sama cantik sama padan itu diijabkabulkan di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur oleh Imam Masjid Usamah Zaid, Murshidi Abd Hamid berwakil walikan bapa Zizi, Mad Tahil.
Penyanyi lagu Eh ini menerima mas kahwin senaskah Al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, manakala wang hantaran pula dirahsiakan.
Tampil sedondon mengenakan persalinan hitam bersongket, majlis diraikan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri keluarga terdekat.
Pasangan ini turut rancang mengadakan dua majlis resepsi iaitu di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka Disember depan, bergantung kepada situasi semasa.
Foto: Instagram ByNanaAzman Studio, Yusuf Bahrin