Pelakon, Harris Annuar berazam untuk menjadikan bacaan dan tadabbur hadis sebagai rutin harian bersama isteri, Asha Merican sepanjang Ramadan ini.
Menurut Harris, dia merasakan ikhtiar ini akan lebih mengeratkan hubungannya dengan isteri.
“Sebelum bulan Ramadan, kami akan mengadakan bacaan hadis bila ada waktu sahaja. Jadi, bulan ini, kami berazam untuk membaca hadis setiap hari seperti mana selepas berkahwin dahulu.
“Kami akan baca tiga hingga lima ayat selepas solat lima waktu supaya rumah sentiasa sejuk dan mengelakkan daripada pergaduhan-pergaduhan besar.
“Rutin ini saya peroleh ketika menuntut ilmu bersama tabligh. Kita kena baca taklim agar hati kita sentiasa terbuka, tenang dan terhindar daripada memikirkan perkara yang bukan-bukan,” katanya kepada MH.
Malah, ia juga secara tidak langsung akan memberikan petunjukkan dalam setiap permasalahan yang berlaku di dalam kehidupan seharian.
“Bacaan taklim ini lebih seronok jika kita buka secara rawak. Tak perlu ikut muka surat dan sertakan sekali dengan niat. Kemudian, baca sahaja hadis yang ada di hadapan kita.
“Ada kalanya, hadis yang kita baca itu merupakan petunjuk daripada Allah dan kena dengan situasi semasa kita. Sudah banyak kali terjadi seperti itu.
“Kebiasaannya, saya akan memilih tiga manakala isteri pula dua hadis untuk kita fahami bersama. Kalau tak faham pun, kita akan baca keterangan,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, bekas peserta Hero Remaja 2017 memaklumkan bacaan hadis ini juga akan memantapkan lagi pengetahuan kita tentang agama.
“Rutin ini sememangnya akan merapatkan lagi hubungan kami. Ia merangkumi pelbagai aspek seperti hubungan sesama manusia ilmu-ilmu baharu, dakwah & tabligh dan zikir.
“Kalau kita sertai tabligh, ini merupakan akan silbus yang akan kita pelajari,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Harris bakal muncul menerusi telefilem terbaharu yang akan ditayangkan di Hari Raya nanti.
Malah, Harris juga teruja kerana ini merupakan kali pertama dia membawakkan watak sebagai pelakon utama.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.