Categories: Uncategorized

‘Biarlah Kesedihan Ini Saya Bawa Hingga Hujung Nyawa’

Share

Pada hari raya ini, ketiadaan ibu dan bapa pastinya akan sangat dirasai, begitulah yang dirasai oleh dengan penerbit, pengarah, pelakon, pengacara Azwan Ali yang kehilangan ibunya awal tahun ini.  

Namun Azwan, 51, dihimpit kontroversi apabila tidak hadir ke upacara pengebumian ibunya, Februari lalu.

“Saya ada sebab tersendiri kenapa tidak hadir. Bukan sahaja ketika meninggal dunia, tetapi hampir dua tahun tidak bersua dengan ibu saya.

“Saya sedar ada yang mengkritik tindakan saya, tapi cerita saya dah ibu hanya ALLAH SWT yang tahu.

“Biarlah kesedihan ini saya bawa hingga hujung nyawa saya. Apa yang penting, saya harap semua keluarga di luar sana saling bermaaf-maafan tidak kira orang tua ataupun muda.

“Jangan hanya tunggu raya sahaja, setiap masa kena memaafkan,” katanya kepada Sinar Harian Online.  

Tambah Azwan lagi;

“Kalau tak kental, susah nak hidup sendirian ni. Tapi, saya doakan yang baik-baik kepada semua orang. Kalau boleh, apa yang berlaku pada diri saya ni tak jadi pada orang lain.

“Kalau ada keluarga, hiduplah dalam keadaan harmoni. Tegurlah dengan berhemah andai ada yang tersalah dan paling penting jauhkan sikap suka memaki orang. Hargailah ahli keluarga kita sebaik-baiknya,” ujarnya.

Azwan berkata, dia kini anggap dirinya sebatang kara.

“Saya tak dapat itu semua. Kerana itu saya selesa dengan apa yang saya lakukan sekarang. Saya anggap diri saya sebatang kara.

“Saya yatim piatu dan tiada keluarga lagi. Saya reda. Ini yang ALLAH SWT tulis untuk saya. Saya terima,” katanya.

Tidak hanya itu, Azwan mengakui sudah lama tidak merasai menyambut hari raya bersama keluarga.

“Masa mula-mula dulu memang rasa lain sangat. Kita dah biasa bersama-sama masa raya, tiba-tiba kena beraya seorang diri.

“Tapi sekejap je rasa macam tu. Bila dah masuk tahun ketiga sampai sekarang, saya rasa ok.

“Saya bukannya ‘lonely’ tapi lebih kepada ‘leave me alone’. Itu dua ayat yang jauh beza,” katanya.

Azwan yang memilih menyambut hari raya pertama di Kota Makkah akan pulang pada hari raya kedua.

“Sampai di sini, saya akan bersantai di hotel mewah dan meraikan lebaran dengan cara saya sendiri.

“Saya suka tengok gelagat orang yang bekerja pada hari raya. Kiranya saya jadi kawan merekalah pada hari itu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian/Haslina Kamaludin

Published by
Meen Tahrin