Walaupun belum sembuh sepenuhnya, pelakon, Fasha Sandha tetap bertegas untuk meneruskan baki penggambaran bagi drama Anak Tuan supaya tidak tertangguh terlalu lama.
Menurut Fasha, dia tidak mahu kecederaannya itu menjadi punca para pelakon dan kru-kru di belakang tabir lambat menerima baki pembayaran.
“Ketika pihak produksi memberi jadual untuk menyambung semula baki penggambaran lagi empat hari, suami saya agak berat hati juga nak izinkan. Keluarga juga risau nak sebab saya belum sembuh sepenuhnya.
“Namun, saya terfikir, kalau saya tak selesaikan tugasan ini, kru-kru dan seluruh pasukan produksi tidak akan dapat bayaran.
“Jadi, tak mengapalah kalau saya bersusah payah sedikit asalkan tak menyekat rezeki orang lain. Saya selalu berfikir, kalau kita mudahkan rezeki orang, InsyaAllah rezeki kita juga akan murah,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, isteri kepada pelakon, Aidil Aziz ini mendedahkan dirinya tidak pernah berhadapan dengan masalah sedemikian sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni.
“Sejak daripada kejadian tersebut, saya asyik fikirkan mengenai shooting. Sepanjang 20 tahun bergelar anak seni, tidak pernah sekali pun sesi penggambaran tertangguh sebab saya.
“Saya tak pernah buat orang lain menunggu. Namun, benda dah jadi. Saya pun tak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana saya percaya setiap yang berlaku itu ada hikmah,” ulasnya lagi.
Katanya lagi, meskipun ada perancangan untuk menangguhkan tarikh tayangan, namun dia tetap memikirkan nasib orang lain berbanding dirinya sendiri.
“Pihak penerbit ada merancang untuk untuk meminta pihak stesen tv menangguhkan dahulu tarikh tayangan tapi saya tak sampai hati.
“Kalau saya pilih untuk tangguh, macam mana kru-kru nak dapat baki bayaran lagi 50 peratus.
“Saya memang akan selalu fikirkan orang lain dulu berbanding diri saya. Masa hari kejadian tu pun, saya minta untuk meneruskan penggambaran tapi pengarah tak izinkan sebab keadaan mata sudah tidak sama dengan babak sebelumnya.
“Saya jadi macam tu sebab nak habiskan penggambaran dengan segera supaya tak menyusahkan banyak pihak,” akhirnya.
Terdahulu, Fasha dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas mata dan kepalanya terhentak di bucu katil semasa menjalani penggambaran drama Anak Tuan bersama pelakon, Azhan Rani.
“Akibat hentakan itu, tulang mata bahagian kiri dramatis itu patah dan bebola mata kirinya berdarah serta bengkak sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar di Johor Bahru.
Dalam pada itu, drama arahan, Along Kamaludin itu bakal ditayangkan mengikut jadual pada Syawal ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.