Pelakon, Beto Kusyairy mendedahkan dia memang bertegas untuk melakonkan babak membakar diri di dalam telemovie, Halimun meskipun pihak produksi telah menyediakan pelakon lagak ngeri.
Menurut Beto, dia berjaya memujuk penerbit dan pihak produksi agar membenarkannya melakonkan aksi berbahaya tersebut.
“Saya bagitahu pada team stuntman yang saya ingin melakonkan sendiri babak membakar diri. Mereka tiada masalah nak benarkan sebab mereka tahu kebolehan saya. Cuma mereka nak saya dapatkan izin daripada pihak produksi terlebih dahulu.
“Perkara ini sampai ke pengetahuan penerbit. Dia pun dah mula risau. Penerbit nasihatkan saya tak perlu buat sebab mereka dah sediakan stunt team.
“Tapi saya minta mereka percayakan saya. Saya juga dah berjanji tidak akan menyusahkan pihak produksi dan ganggu waktu shooting. Dari segi keselamatan pun saya jaga sehabis baik. Akhirnya mereka izinkan,” katanya kepada MH.
Tambah Beto lagi, aksi lagak ngeri seperti ini sebenarnya sudah menjadi impiannya sejak dahulu lagi.
“Saya dah banyak kali bekerja dengan stunt team ini. Saya tahu tahap keselamatan dan cara mereka menjaga ahli mereka. Itu antara sebab saya berani nak buat sendiri.
“Dari segi kepuasan watak pula, saya rasa lebih seronok kalau saya rasai sendiri babak tersebut. Sewaktu bergiat aktif sebagai stuntman dahulu, aksi human torch ini memang jadi impian saya.
“Babak tersebut memang benar-benar dibuat dan jangka masanya sama seperti yang anda lihat di dalam filem. Ia tidak dipercepatan dan dilakukan dalam satu take sahaja,” kongsinya lagi.
Beto berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana telemovie, Halimun yang berlangsung di GSC, One Utama pada Rabu.
Pada masa sama, pelakon berusia 42 tahun turut memaklumkan dia hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian bibir ketika melakonkan aksi tersebut.
“Saya hanya mengalami sedikit kecederaan di bahagian bibir. Saya ada sapu fire gel cuma ketika babak tersebut dirakam, saya tak perasaan yang saya terkemam bibir.
“Jadi, fire gel tersebut tak kena bibir saya dan ia melecur sedikit. Saya anggap ia hanya kecederaan ringan sahaja,” ujarnya lagi.
Bagi mengelakkan rasa risau yang melampau, Beto memaklumkan dia hanya memberitahu mengenai perkara tersebut kepada isterinya selepas sesi penggambaran selesai.
“Isteri saya memang tak tahu. Bila saya dah selesai, saya dapat tahu yang Nabila Huda kongsikan video lakonan tersebut di Instagram.
“Saya pun cemas sekejap dan terus hubungi isteri. Bila dia dah lihat posting tersebut, sebagai isteri, normal bagi dia berasa risau. Saya tak bagitau kerana saya ingin menyenangkan hati dia.
“Kalau saya bagitahu lebih awal, dia akan terlalu risau. Ketika itu, saya dan isteri sedang berjauhan. Bila saya tahu dia risau, saya pun tak boleh nak fokus. Jadi saya biar dahulu,” akhirinya.
Halimun mengisahkan tentang dugaan misteri yang dihadapi oleh Zahir (Beto) dan Laila (Nabila Huda) setelah 4 bulan mereka mendirikan rumah tangga.
Telefilem yang dihasilkan dengan kerjasama dan bantuan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan ditayangkan di platform Astro First mulai 5 November 2022.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI