Hiburan

“Bila Ada Yang Buat ‘Tahi’, Mereka Yang Rosakkan…,” – Selit Unsur Persatuan, Ini Mesej Awie Dalam Filem Rebel

Share

Pelakon dan penyanyi, Datuk Awie berharap orang ramai tidak memukul rata dan memberikan persepsi negatif terhadap mereka yang aktif berpesatuan hanya kerana ada segelintir pihak yang lari daripada matlamat asal.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, mereka yang aktif berpesatuan atau terlibat dengan kumpulan baiah ini sebenarnya mempunyai matlamat yang baik berlandaskan Al-Quran dan sunnah.

Lantas, Awie memutuskan menyelitkan sedikit elemen berpesatuan itu di dalam filem terbaharu arahannya yang berjudul Rebel: Berontak Untuk Berotak.

“Bila menonton filem ini, mungkin orang di luar sana akan terdetik apa hala tuju sebenar mereka yang berpesatuan ini.

“Kita tidak mahu bila bercakap fasal ahli bai’ah semuanya akan bersangkut paut dengan kongsi gelap. Tidak sama sekali.

“Kita sebenarnya mengikut sunnah Rasulullah dan menjunjung Al-Quran. Itulah perjalanan asalnya.

“Namun, bila ada segelintir pihak yang membuat ‘tahi’, merekalah sebenarnya yang merosakkan perjalanan berpesatuan ini. Kalau ikutkan, berpersatuan ini sangat bagus satu ketika dahulu. Mungkin sekarang ini sahaja banyak bezanya,” katanya kepada MH.

Awie berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Rebel: Berontak Untuk Berotak, Jumaat lalu.

Pada masa sama, Awie turut memaklumkan dirinya mendapat inspirasi dan tahu mengenai selok belok berpesatuan ini hasil daripada bercampur dengan banyak pihak sejak muda.

“Saya bercampur dengan semua golongan masyarakat tidak kira sama ada yang di atas atau bawah. Saya tahu mengenai gerakan itu,” kongsinya lagi.

Jelas vokalis kumpulan Wings ini lagi, matlamat mereka yang terlibat dengan aktiviti persatuan sebenarnya jauh lebih murni daripada segelintir gerakan politik yang hanya mahu memecah belahkan masyarakat.

“Berpesatuan ini bukan sesuatu perkara yang baharu. Ahli-ahlinya mungkin ada di sekeliling kita. Cuma kita tidak mahu ambil tahu.

“Kalau kita cari tahu sedikit, mungkin kita akan tahu berpesatuan ini sebenarnya lebih bagus daripada parti-parti politik yang lain.

“Mereka ini lebih mementingkan soal kekeluargaan. Kita tidak sepatutnya menjatuhkan antara satu sama lain. Perjalanan mereka ini jauh lebih murni,” ujarnya lagi.

Lantaran itu, Awie berharap orang ramai tidak terlalu cepat menghukum sebaliknya menilai dahulu mesej yang ingin disampaikan di dalam filem ini selepas menontonnya.

“Tontonlah dahulu apa yang dinaraturkan dan dipersembahlan di dalam filem ini. Kalau mereka tidak menonton dan hanya mengkritik daripada luar, itu tidak adil.

“Tengok dahulu dan betulkan perspektif negatif itu. Kita pun tidak mahu menegakkan benang yang basah tapi kita nak perbaiki apa yang patut. Perkara yang elok itu, kita elokkan lagi,” akhirinya.

Terdahulu, Rebel: Berontak Untuk Berotak merupakan filem aksi yang mengisahkan tentang perseteruan antara dua individu iaitu Luka (Ben Amir) dan Bono (MK K-Clique), meskipun mereka berada dalam sebuah pertubuhan yang sama.

Filem ini bakal mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 2 Mei ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf