“Saya ada cakap dengan isteri, kalau anak kita sihat dan ada rezeki, kita pergi buat umrah,” itu hajat pelawak, Ali Puteh apabila ditanya apakah yang ingin dilakukan terhadap wang kemenangan yang diraihnya di Maharaja Lawak 2019 (MLM2019) bersama kumpulan Puteh.
Diumumkan sebagai Juara MLM musim terbaru, Puteh yang dianggotai oleh Ali, Mamak Puteh dan Man Raja Lawak berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500,000 beserta trofi.
“Kemudian bila anak meninggal, saya beritahu isteri kita tetap akan pergi umrah juga, insyaAllah,” sambung pemilik nama lengkap Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan ini lagi.
Ditanya mengenai elemen sedih yang ditampilkan mereka pada hujung persembahan kedua yang bertemakan bebas, Ali mewakili Puteh menjelaskan mereka berbincang dan cuba menerapkan sisi komedi dan content pada 30 saat terakhir persembahan.
“Ketika di malam final, saya ada beritahu Mamak kita tekankan dengan elemen komedi dan content dan pada 30 saat terakhir baru kita ‘twist’. Maknanya kenduri yang dilakukan ialah untuk apa. Tapi kalau daripada awal, kita sentuh mengenai hal lain.
“Maknanya kita tidak terapkan ia daripada awal. Kalau kata nak mainkan isu itu daripada awal, lagi menangkap. Tapi saya rasa tak perlu, tak adil untuk pertandingan seperti ini. Untuk menang RM500,000 main dengan elemen sebegitu, rasanya tak sesuai,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai hal tersebut dengan lebih lanjut, Ali turut akui isterinya tidak diberitahu awal mengenai apakah intipati persembahan yang akan dilakukan pada malam final.
“Saya tak ada beritahu apa content yang bakal dibuat, selalunya dia tanya. Cuma di belakang pentas saya cakap, ada suprise tau malam ni. Lepas selesai persembahan dia jumpa dan saya terus peluk dia. Saya cakap inilah yang saya cuba ketengahkan, insyaAllah.
“Dia kata kenapa tak bagitahu, saya cakap kalau beritahu nanti ia tak akan menjadi. Yang tahu hanyalah pihak produksi malah peserta lain pun tak tahu. Kita rehearsal hari Khamis dan perform hari Jumaat,” ujarnya.
Terdahulu, Puteh turut menerima Oppo Punchline Machine, iaitu peserta yang mendapat markah tertinggi daripada pihak juri pada malam final lalu.
Zero ditempat kedua dengan membawa pulang wang tunai RM250,000 beserta trofi sementara tempat ketiga menjadi milik kumpulan Bocey.
Sementara J-born dan Rare diumumkan sebagai pemenang keempat dan kelima dengan masing-masing menerima wang tunai RM50,000 dan RM15,000 selain trofi kemenangan.
Allahyarham Sharifah Nur Ainul Mardhiah, tiga bulan, meninggal dunia November lalu selepas disahkan menghiap masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang.
Ali turut mempunyai seorang lagi cahaya mata, Sharifah Nur Aaira Qaireen yang kini mencecah usia tiga tahun.
Bersempena dengan kemenangan yang dilakar mereka, bintang ini ada memberikan dedikasinya menerusi Instagram, baru-baru ini.
“Satu kenangan yg tak kan sy lupakan…segala yg berlaku ade hikmah…Allah beri kedukaan pada sy Dan Allah beri kebahagiaan pada saya.
“Perancangan allah yg sgt hebat…syukur nikmat yg Allah bg pada hambamu ini,” tulisnya menerusi entri terkini di platform sama.
Foto: Instagram Ali Puteh