Penyanyi, Ezad Lazim meluahkan rasa susulan hasratnya untuk mengadakan konsert di Indonesia bersama kumpulan Exists sering kali menemui jalan buntu.
Menurut Ezad atau nama sebenarnya Muhammad Rohaizad Mohd Lazim, permasalahan ini sebenarnya sudah sering terjadi sewaktu dia masih lagi aktif bersama kumpulan Exists.
Katanya lagi, hal seperti ini tidak pula berlaku sewaktu artis Indonesia ingin mengadakan persembahan di Malaysia.
“Sebenarnya memang ramai pihak yang mengundang Exists untuk mengadakan persembahan di Indonesia. Namun, kita kena tengok yang betul-betul serius dengan projek ini.
“Sebelum ini pun, banyak je undangan tapi akhirnya pasti temui jalan buntu. Saya bukanlah nak kata orang di sana tidak menerima kita tapi hal seperti dah berlaku sejak daripada dulu lagi.
“Saya sendiri tak pasti apa masalah sebenarnya. Sedangkan bila artis di sana ingin membuat persembahan di sini, kita senang je nak terima. Kita alu-alukan lagi mereka,” katanya kepada MH.
Ezad turut menambah, permasalahan ini bukan sahaja berlaku kepada kumpulan Exists tetapi juga buat penggiat seni tempatan yang lain.
“Saya bukan nak menyalahkan sesiapa tapi mungkin pihak yang nak menguruskan projek ini tidak tepat. Saya tak nampak lagi mana-mana pihak yang serius nak menjayakan projek seperti ini.
“Saya nampak mereka seperti hanya sekadar bertanya tapi akhirnya nanti tak jadi. Ada je masalah yang akan timbul nanti.
“Kami ada juga bertanya kepada pihak Shiraz yang pernah membawa Datuk Seri Siti Nurhaliza ke Jakarta untuk membawa juga kami ke sana.
“Pihak Shiraz kata okay sahaja tapi mungkin akan ada banyak masalah dari pihak sana. Saya pun tertanya-tanya apa masalahnya,” kongsinya lagi.
Malah, penyanyi lagu Jesnita ini juga turut berpandangan Exists tidak perlu untuk mengadakan konsert berskala besar ketika di sana tetapi cukup sekadar konsert di bandar-bandar kecil.
“Saya rasa Exists tak perlu pun konsert-konsert berskala besar contohnya di Jakarta. Saya rasa Exists sesuai untuk kota-kota kecil atau kawasan kampung seperti di Bandung, Tasik Malaya atau Medan.
“Saya dapat rasa di sana mungkin ramai yang minat dan mahu menonton konsert Exists,” ujarnya lagi.
Lantaran itu, Ezad berharap agar isu seperti ini dapat diselesaikan pada masa akan datang.
“Saya nampak macam masih ada kekangan untuk artis kita melebarkan sayap ke Indomesia. Semoga isu ini temui jalan penyelesaiannya.
“Masalah ini bukan baru timbul sekarang tapi dah jadi sejak saya aktif dengan Exists. Bila di sana, kalau kita nak hasilkan lagu pun, kita kena tukar ke bahasa mereka.
“Saya pun ada rasa sedikit terkilan sebab penerimaan fans di Indonesia memang sangat luar biasa. Harap-harapnya prosesnya selepas ini akan jadi lebih mudah,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Ezad Lazim & Exists
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI