Selepas sukses menerusi drama Projek Anchor SPM dan I-Tanggang, pelakon meningkat naik, Nadhir Nasar kini tampil menerusi ‘mini series’ terbaru, Nusyuz Berkiblat Cinta.
Menurut Nadhir, naskhah berkenaan sememangnya memberikan pengalaman baru buat pendatang baru sepertinya kerana ini pertama kali dia membawakan watak sebagai seorang suami.
“Pengalaman membawa watak Erfhan sangat berbeza dengan watak-watak yang pernah saya bawa sebelum ini. Kali pertama saya jadi seorang suami. Malah, suami yang dayus.
“Sebelum ini, saya banyak memainkan watak sebagai remaja atau budak sekolah. Jadi, kali ini saya ingin mencabar diri sebagai seorang yang dewasa.
“Pengalaman berlakon bersama Hadith Omar, Shaza Bae, Fikry Ibrahim dan Emma Maembong memang sangat luar biasa. Walau drama ini hanyalah mini series, tapi banyak pengalaman yang saya dapat,” katanya kepada MH.
Juara Hero Remaja 2020 ini turut menambah, keserasiannya bersama Shaza Bae juga banyak membantu menghidupkan watak Erfhan.
Katanya lagi, dia dan Shaza cuba berusaha sebaik mungkin menjadikan lakonan mereka tampak nyata lebih-lebih lagi bila melibatkan adegan penderaan.
“Gandingan saya dan dia yang membawa watak sebagai isteri pun serasi. Sebagai pelakon baru, saya sangat suka bila gandingan saya ‘memberi’ ketika berlakon bersama.
“Bila melibatkan babak pukul memukul, sebagai seorang pelakon, saya tidak mengawal pun berbuatan saya. Semua rasa amarah itu saya lepaskan. Cuma, cara atau ‘method’ lakonan itu harus dibuat dengan betul. Kita ada cara untuk memukul tapi tidak menyakitkan.
“Saya banyak bergerak mengikut rasa. Kadang-kadang kita tak buat latihan pun sebab kami inginkan emosi yang nyata dan bukan dibuat-buat,” kongsinya lagi.
Drama Nusyuz Berkiblat Cinta arahan Hadith Omar ini bersiaran pada setiap Ahad jam 9 hingga 11 malam di saluran Astro Ria dan Astro Go.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.