Selebriti dan usahawan yang kini berada di tanah suci bagi mengerjakan haji, Neelofa mengakui dia belajar dan bersungguh mengarang sesebuah doa agar lebih menusuk kalbu dan sedap didengar.
Seterusnya, barulah hos MeleTop itu akan cuba hafal dan amalkan doa yang dekat dengan dirinya.
Pada masa sama, Neelofa juga tidak menafikan dirinya banyak belajar mengenai karangan doa daripada ibu, Datin Noor Kartini Noor Mohamed.
“Mama saya sangat pandai mengarang doa. Kadang-kadang bila dia baca doa yang keluar dari mulut secara spontan, sedap je dengar.
“Sebab itulah ahli keluarga dan rakan terdekat menantikan doa Mama. Jadi bila banyak isi masa bersamanya, terutamanya apabila Mama berdoa di tanah suci, banyak yang saya ikut,” jelasnya kepada MH.
“Misalnya ketika saya ada berkongsi sebuah doa (yang menjadi viral baru-baru ini), ia ‘keluar’ begitu sahaja kerana kami pernah dan saya gigih untuk karang sesuatu doa itu sebaiknya.
“Karang supaya ia lebih sedap didengar hingga menusuk jiwa, kemudian barulah saya akan cuba ingat dan amalkan, InsyaAllah,” kata Neelofa.
Terdahulu, bintang ini baru sahaja mengumumkan mengenai kerjasamanya bersama pembangun aplikasi digital Islamik global, Muslim Pro menerusi Makna By Lofa.
Makna By Lofa merupakan sebuah laman khas dalam aplikasi Muslim Pro yang menampilkan suara Neelofa sebagai medium bacaan maksud bahasa Melayu bagi ayat-ayat al-Quran.
Foto: Instagram Neelofa