Penyanyi, Ezad Lazim mendoakan yang terbaik buat vokalis asal kumpulan Exists, Mamat yang kini masih lagi dalam proses perbicaraan atas dua pertuduhan memiliki dan menggunakan dadah, lima tahun lalu.
Menurut Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim, dia berharap agar Mamat dapat terus cekal untuk menghadapi setiap dugaan ketika ini.
“Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Mamat. Semoga dipermudahkan segala dugaan yang melanda hidup dia.
“Semoga ini menjadi pengalaman dan pengajaran untuk Mamat sendiri dan mereka yang di luar sana,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, Ezad turut memaklumkan Exists akan sentiasa memberikan sokongan buat Mamat sebagai seorang sahabat.
“Kami okay sahaja. Kita doakan bila selesai segala urusan Mamat nanti, tiada masalah untuk dia kembali bersama kami. Exists dan Mamat tidak pernah ada masalah.
“Bagi kami, Mamat ini seorang yang sangat okay. Kami kenal dia macam mana tapi mungkin kali ini nasib tidak menyebelahi dia.
“Kami sebagai Exists pun tak boleh nak buat apa-apa. Kita juga tak boleh nak masuk campur kerana hal ini masih menjadi kes polis. Kami tak boleh nak komen lebih,” ulasnya lagi.
Penyanyi lagu Jesnita itu berkata sedemikian ketika ditemui di program promosi Konsert Rock Lagenda Berzaman yang berlangsung di ibu kota pada Rabu.
Ditanya sama ada pihak Exists ada cuba menghubungi Mamat sewaktu dia ditahan, ini reaksi yang dikongsikan Ezad;
“Semasa kejadian itu berlaku, kami sebenarnya sudah dapat tahu sebab kami memang rapat. Ketika itu dia sudah ditahan. Kami hanya berurusan dengan pihak keluarga.
“Walaupun kami tahu lebih awal, kami memilih untuk diam sahaja,” ulasnya lagi.
Katanya lagi, segala projek Exists bersama Mamat sudah pun selesai selepas mereka mengadakan Konsert Orkestra pada Disember lalu.
“Nasib baik projek bersama Exists sudah selesai. Kami masih ada konsert unplugged di Singapura tapi Mamat memang tidak terlibat.
“Mungkin Ajai ada nak buat single bersama Mamat. Ajai lebih tahu hal ini,” akhirinya.
Terdahulu, Ezad bakal terlibat didalam Konsert Rock Legend Berzaman yang bakal berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 3 Mac ini.
Selain Ezad, konsert ini turut membariskan 8 lagi penyanyi lagenda tanah air iaitu Mus May, Poei Stings, Zamani, Azan Scan, Ameng Spring, Hazama, Amir Ukays dan Shidi Data.
Menariknya, tiket konsert ini juga bakal dijual secara fizikal dibeberapa lokasi terpilih dengan harga promosi RM98.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.