Kini rancak ditayangkan di pawagam, filem The Assistant mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Filem aksi arahan Adrian Tan ini menjadi penanda aras kepada sinema tempatan yang dilihat baru bernafas semula pasca pandemik yang melanda dunia.
Melihatkan pujian demi pujian yang diberikan penonton, ia bagaikan memberikan sinar kepada sinema tanah air untuk kembali menyinar dengan pelbagai karya bermutu daripada penerbit tanah air.
Bagi penerbit popular, Jaja Ishak, berkesempatan menonton filem The Assitant lakonan Hairul Azreen, Iedil Dzuhairrr Alaudin dan Henley Hii baru-baru ini sebenarnya memberikan dimensi baharu kepada penerbit lain untuk sama-sama menghasilkan karya berkualiti tinggi seperti filem berkenaan.
“Memang teruja dan gembira apabila dapat sama-sama meraikan The Assitant yang membariskan pelakon hebat tanah air. Mereka bukan sahaja berkarisma membawakan watak dengan baik tetapi dalam masa yang sama berjaya membawa emosi penonton ikut turun naik.
“Saya anggap ini merupakan antara karya yang harus ditonton oleh semua peminat yang sudah lama tidak menonton filem aksi tempatan. Semua akan berpuas hati dengan The Assitant ini,” kata penerbit ini lagi.
Jaja berkata demikian sebaik sahaja selesai menonton tayangan perdana filem berkenan yang ditayangkan khusus untuk penerbit tanah air baru-baru.
Selain Jaja, beberapa penerbit lain turut sama dijemput menghadiri tayangan berkenaan untuk sama-sama menyemarakkan lagi industri kreatif tanah air.
Namun apa yang paling mengesankan Jaja apabila melihat mutu lakonan Hairul yang disifatkan semakin baik dari semasa ke semasa. Dia yang mengikuti perkembangan pelakon itu sejak dahulu percaya bakat yang ada pada Hairul mampu pergi jauh lagi pada masa hadapan.
“Ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk Hairul pergi lebih jauh lagi dalam bidang lakonan. Saya mengikuti lakonannya sejak drama Misiku Kuza dan beberapa drama popular yang lain.
“Bila melihatkan perkembangan bakatnya, saya percaya sesiapa sahaja mampu jadi sepertinya sekiranya diberikan naskhah yang baik, pengarah yang hebat dan mampu membangunkan potensi pelakon.
“Semoga apa yang dinikmati oleh Hairul hari ini mampu membuka mata golongan pelakon lain untuk terus meningkat mutu lakonan lebih baik pada masa hadapan,” tambahnya lagi.
Filem The Assistant merupakan terbitan Act 2 Pictures mengangkat kisah seorang pemuda yang merengkuk dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukannya.
Menariknya, baru sahaja ditayangkan secara rasmi pada 19 Mei lalu, The Assitant sudah pun menyertai Far East Festival Film (FEFF) ke-24 di Udine, Itali bulan lalu.
Selain itu, filem ini juga akan menyertai The Assistant akan menyertai Neuchatel International Fantastic Film Festival (NIFFF) di Switzerlan dan sebuah festival filem di Brussels, Belgium.
“Sebagai rakyat Malaysia dan sama-sama terlibat dalam bidang kreatif, saya bangga dengan apa yang dicapai oleh The Assitant hingga mampu menyertai festival di luar negara dan mengharumkan nama Malaysia.
“Kita berharap lebih banyak filem tempatan yang lain mampu untuk pergi jauh dan terus dibanggakan. Ia juga membakar semangat penerbit lain untuk sama-sama menghasilkan produk yang lebih baik,” kata pemilik Jaja Ishak Channel Sdn Bhd ini lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI