Nama penyanyi Amiesyha pernah meniti di bibir peminat sekitar tahun 2022 apabila muncul dengan lagu berjudul Gegar, duet bersama Noki K-Clique.

Lagu berentak hip hop itu juga menjadi runut bunyi (OST) untuk filem Daddyku Gangster yang ditayangkan pada tahun sama.

Terbaharu, Amiesyha atau nama sebenarnya, Ismar Amiesyha Ismail kini muncul dengan single terbaharunya iaitu sebuah lagu irama Latin iaitu Mirame.

Jelasnya, lagu tersebut sepatutnya menjadi single pertama buat dirinya dalam usaha mengejar impian menjadi seorang penyanyi.

“Pada tahun 2022, saya sempat merakamkan dua buah lagu iaitu Mirame dan Gegar. Bagaimanapun, lagu Gegar terlebih dahulu diterbitkan memandangkan ia jadikan sebagai OST untuk filem Daddyku Gangster.

“Kalau lagu sebelum ini (Gegar) berentak hip hop, untuk lagu ini saya memang inginkan ada ‘vibes’ Latino kerana saya cukup menggemari irama Latin,” katanya.

Pada masa sama, Amiesyha mengakui lagu Mirame ini sememangnya menjadi inspirasi buat dirinya untuk bergelar seorang penyanyi.

Malah, menerusi bait-bait lirik dalam lagu berkenaan, ia berkisarkan tentang kekuatan diri seseorang untuk tidak mengendahkan sebarang kata-kata negatif orang lain.

“Mirame adalah perkataan dalam bahasa Latin yang bermaksud ‘Look At Me’ (Lihatlah Saya). Ia adalah sebuah lagu hype yang beritahu kepada pendengar, sejauh mana orang tak suka kepada kita, kita tak perlu hiraukan apa yang nak kata. Biarlah orang lihat sendiri bakat dan kebolehan kita.

“Macam saya sendiri, apabila nak menjadi penyanyi memang ada segelintir yang skeptikal… yang persoalkan siapakah saya yang tiba-tiba nak jadi penyanyi. Jadi, saya tak perlu hiraukan pandangan sebegini dan saya mahu menjadi diri sendiri,” jelasnya lagi.

Mengenai harapannya terhadap single Mirame, Amiesyha menyatakan agar lagu baharunya itu dapat diterima pendengar.

Mirame yang merupakan lagu ciptaan dan lirik oleh Dato Ayu Omel dan Budakbro, kini sudah boleh didengar di semua platform digital serta saluran YouTube D’Ayu Music.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI