Selepas pemergian suami yang juga pengarah, Mohd Firdaus Mohd Hanif pada 2019, pelakon Farah Ahmad kini akui dia dan anak-anak semakin kuat menempuh hari-hari mendatang terumatanya bila memasuki bulan Ramadan dan Syawal
Menurut Farah, dia sekeluarga tetap memegang erat segala kenangan dan ilmu sepanjang hayat bersama arwah.
“Jawapan yang saya dan anak-anak akan berikan tetap sama. Perasaan kami sama sahaja kerana kami sudah set di minda yang tiada hanyalah jasad tetapi segala kenangan dan memori yang diajar kepada isteri dan anak-anak tetap ada dengan kami.
“Jadi, kami tidak merasa seperti dia tiada. Kita akan tetap melakukan rutin kami seperti biasa untuk bergembira di bulan Ramadan dan Syawal. Hubungan saya dengan ibu mertua masih lagi rapat dan kita selalu berjumpa.
“Kalau kami teringat pada arwah sekalipun, semuanya yang manis-manis sahaja. Tak kisah bulan Ramadan, Syawal atau bulan-bulan lain, rasanya tetap sama. Alhamdulillah, setakat ini Allah masih lagi mengekalkan keredaan di hati kami,” katanya kepada MH.
Menantu kepada pelakon senior, Fauziah Nawi itu turut memaklumkan, dia dan anak-anak ada cara tersendiri mengubat kerinduan terhadap arwah.
“Kalau nak kata hati terjentik bila terkenang arwah, selalunya terjadi bila saya terlalu penat tetapi ia akan berakhir sebelum saya masuk ke rumah. Anak-anak pun ada momen-momen yang mereka atasi sendiri.
“Masing-masing ada cara mereka. Saya pun tidak menyatakan perbuatan mereka itu salah. Itu cara mereka ‘healing’. Bila hari raya pertama kami pakai baju dia. Anak-anak kata tak nak pakai baju raya sebab nak pakai baju dia. Saya biarkan sahaja,” kogsinya lagi.
Dalam pada itu, pelakon drama Anak Sena ini juga meluahkan rasa syukur kerana orang-orang di sekeliling sentiasa memberikanya semangat untuk meneruskan kehidupan selepas ketiadaan suami.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana ‘support system’ saya sangat kuat. Rezeki yang Allah berikan kepada saya adalah kawan-kawan dan ahli keluarga yang banyak berikan kami semangat.
“Para pengikut di media sosial juga berikan saya aura-aura positif. Mereka kerap juga bertanya mengenai keadaan saya. Secara tidak langsung berlaku komunikasi dua hala untuk kami sama-sama memberikan motivasi diantara satu sama lain.
“Kalau orang tanya macam mana saya boleh kuat? Saya hanya balas macam mana saya nak suruh anak-anak terus kuat dan sabar kalau saya sendiri tidak seperti itu. Saya kena ubah diri saya dahulu.
“Kalau nak taya macam mana nak menempuh hari-hari mendatang? Saya akan tetap teruskan sebab saya sendiri tak tahu sampai bila saya akan hidup. Hanya Dia sahaja yang tahu,” akhirinya.
Tiga tahun lalu, dunia seni tanah air dikejutkan dengan pemergian Firdaus atau lebih mesra disapa Pitt Hanif selepas dibawa arus ketika sedang memancing di Kuala Lipis, Pahang.
Allahyarham Pitt meninggal seorang isteri dan tiga orang anak berusia antara 10 hingga 19 tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.