“Bila Saya Buka Hijab, Suami Pesan…,” – Sasha Abdul Aziz Hanya Mohon Netizen Doa Yang Baik-Baik

Share

“Setiap orang ada perjalanan masing-masing.”

Demikian kata usahawan yang juga pempengaruh media sosial, Sasha Abdul Aziz mengenai kritikan yang diterimanya sebelum ini selepas mengambil keputusan untuk kembali tidak bertudung Januari tahun lalu.

Sasha berkata, apa yang terjadi ialah perjalanan hidup selain menyifatkan ia menjadi pengalaman yang mengajar untuk menjadi menjadikannya sebagai individu yang lebih baik selepas ini.

“Malah ketika saya cuba untuk berhijab ketika itu, suami saya kata ia perjalanan hidup saya. Kalau penampilan sedemikian berpanjangan, dia bersyukur dan mendoakan yang terbaik.

“Cuma bila saya buka hijab, suami pesan untuk tidak terlalu fikirkan hal yang negatif. Sebaliknya fokus sahaja terhadap apa perkara baik yang saya mahu kongsikan pada orang lain.

“Sebab itu sekiranya masih ada yang mengecam saya sehingga sekarang pun, saya cuba untuk bersikap positif.

“Soal pakai hijab atau tidak, orang masih akan bercakap. Siapa tahu nanti pada suatu hari saya akan kembali pakai (tudung). Jadi doakanlah yang baik-baik,” katanya kepada MH.

Sasha ditemui pada Majlis Pelancaran Syampu Wellsen x Dynas di Wanra Cafe, Bukit Jelutong, pada Selasa.

Dalam pada itu, Sasha mengakui dia masih lagi mengikuti kelas agama dan al-quran seperti kebiasaan namun memilih untuk tidak terlalu berkongsi mengenai perkara itu di media sosial.

“Saya masih lagi pergi, cuma saya tidak tunjuklah sebab bila berbuat demikian, netizen akan berkata lain pula. Ada juga yang minta untuk simpan untuk diri sendiri.

“Tapi bila saya tak paparkan di media sosial, ada pula yang tanya ‘you masih mengaji, pergi kelas agama lagi ke’? Saya pun pelik hingga tertanya-tanya apa yang perlu saya buat sebenarnya,” katanya lagi.

Ibu kepada dua cahaya mata ini bagaimanapun bersyukur kerana mempunyai keluarga yang banyak memberikan semangat terhadap apa sahaja perkara yang dilakukan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH