Home Berita Bila Si Ibu Obses Untuk Anak Raih Result Cemerlang Dalam Peperiksaan, I...

Bila Si Ibu Obses Untuk Anak Raih Result Cemerlang Dalam Peperiksaan, I Am Not Stupid 3 Singkap Realisme Kehidupan

Mengangkat tema mengenai tekanan sistem pendidikan dan bagaimana tekanan itu mampu mencetuskan ketegangan dalam institusi kekeluargaan, filem francais I Am Not Stupid 3 arahan Jack Neo pastinya dekat dengan kehidupan kini, khasnya di kalangan ibu bapa dan pelajar sekolah.

I Am Not Stupid 3 antara lain turut berkisar tentang realisme kehidupan di Singapura selain menyentuh mengenai keinginan melampau penjaga untuk anak-anak mereka meraih keputusan peperiksaan cemerlang di sekolah.

Memasuki edisi yang ketiga, naskhah ini mengisahkan persaingan antara dua ibu kepada dua orang pelajar sekolah rendah yang mengikuti pengajian di institusi sama untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan hingga sanggup melakukan apa sahaja demi melihat anak-anak mereka menjadi yang terbaik.

Obsesi melampau penjaga yang ingin melihat kejayaan anak-anak sekaligus menyebabkan kanak-kanak yang terlibat ‘menyerap’ tekanan daripada ibu masing-masing yang saling bersaing secara agresif.

Tindakan si ibu yang sanggup menghukum anak sekiranya mereka tidak mencapai keputusan cemerlang pastinya memberi kesan buruk dan trauma kepada anak-anak.

Tanpa mereka sedari, apa yang dilakukan secara langsung turut memberi impak kepada ahli keluarga yang lainnya.

Di dalam filem ini, Zi Hao, ialah pelajar Sekolah Rendah Cina 6 di Singapura, menghadapi tekanan akademik apabila rakan sekelasnya Jayden memerangkapnya dan menuduh dia  menipu demi mengekalkan prestasinya di kedudukan teratas dalam kelas.

Sementara itu, ibu Zi Hao, Wen Ting, pula dituduh melakukan kerja haram oleh ibu Jayden yang berdaya saing, Sophia.

Di tengah-tengah kemelut yang berlaku, kedua-dua ibu itu menyedari beban yang menimpa anak lelaki mereka dan akhirnya bersatu untuk mengutamakan kesejahteraan mereka berbanding gred demi memupuk perdamaian.

I Am Not Stupid 3 dibarisi pelakon kanak-kanak Zhou Yuchen, Camans Kong, Goh Wee-Ann dan Joseph Ng Zhiyang, selain turut dibintangi Hu Jing, Jae Liew, Collin Chee, Cheryl Desiree Chan, Xixi Lim, Ben Logan Sng, Glenn Yong dan ramai lagi.

Filem berdurasi 2 jam 13 minit itu telah pun ditayangkan di pawagam negara ini sejak 13 Jun lalu dan masih ditayangkan sehingga kini.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

https://www.youtube.com/watch?v=KKt476tt7Ro

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI