Pelakon meningkat naik, Fadhli Masoot mempunyai sebab tersendiri mengapa dia tidak terlalu terbuka mengenai hubungannya dengan isteri, Suraya sehinggalah selepas majlis pernikahan pada 2 Mac lalu.
Menurut Fadhli, dia sebenarnya hanya menunggu waktu yang sesuai untuk berkongsi mengenai berita perkahwinannya itu kepada umum.
“Saya ada prinsip sendiri. Saya hanya akan uar-uarkan dan akan beritahu bila sudah betul-betul sahih. Lebih-lebih lagi zaman sekarang ini, bila terlampau berkongsi, ada yang kecundang di tengah jalan.
“Saya risau akan jadi sebegitu. Jadi, saya memilih untuk berdiam dahulu soal hubungan sehinggalah tiba harinya.
“Saya bukan risau sama ada saya atau dia diganggu orang lain tapi saya lebih takutkan godaan syaitan.
“Alhamdulillah penerimaan orang ramai tentang pernikahan saya semuanya positif,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Projek High Council itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media program Ramadan dan Hari Raya TV3 baru-baru ini.
Katanya lagi, dia dan isteri kini sedang membiasakan diri untuk hidup berumah tangga.
“Ada beberapa hal yang buat saya rasa geli hati. Sepanjang 28 tahun hidup, bila habis makan, kita basuh pinggan sendiri. Tapi kali ini ada yang larang saya basuh.
“Bila saya ada penggambaran pada awal pagi, dia bangun dahulu untuk siapkan barang saya. Kini saya rasa makin terurus,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai perasaan untuk pertama kali menyambut Ramadan sebagai pasangan suami isteri, Fadhli
memaklumkan dia dan isteri akan cuba memudahkan antara satu sama lain.
“Pada awalnya, isteri saya panik juga. Dia tanya macam mana rutin saya ketika berbuka dan sahur. Saya bagitahu dia, saya ini bukan orang yang cerewet tentang makan.
“Bila sahur pula, menu yang boleh membahagiakan saya adalah telur goreng masak kicap. Sejak dahulu lagi, itulah makanan yang mak saya selalu sediakan.
“Itu adalah menu ringkas, senang, padu dan kenyang. Rupanya, dia pun suka menu sama,” ulasnya lagi.
Pada masa sama, Fadhli bersyukur apabila dikurniakan suami yang memahaminya kerjayanya sebagai anak seni.
“Sejak sebelum bertunang, saya sudah maklumkan kepada isteri yang saya nak fokus dalam kerjaya sebagau anak seni. Alhamdulillah, dia sangat menyokong saya.
“Sebelum ini, saya ada berlakon drama bersama Alya Iman, dia pula yang teruja tanya macam mana hasil lakonan saya.
“Kalau saya kata penat, dia akan berikan kata semangat. Dia pun tidak meletakkan sebarang syarat cuma saya kena faham sendiri,” akhirinya.
Terdahulu, Fadhli bakal bergandingan bersama heroin, Trisha Ooi menerusi drama terbaharu yang berjudul yang berjudul Ya, Cikgu.
Drama ini bakal ditayangkan pada Hari Raya pertama hingga ke-5, jam 10.30 pagi di TV3.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.