“Bila Terlebih Mesra, Dia Tanya Juga…,” – Peminat Masih ‘Menggedik’, Isteri Aiman Tino Profesional

Share

Pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu, penyanyi, Aiman Tino teruja penerimaan peminat terhadap dirinya masih sama meskipun selepas mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri berharap agar para peminat mengetahui batas dan menghormati statusnya yang sudah berumah tangga.

“Peminat masih layan saya sama seperti dahulu. Malah, ada diantara mereka yang masih ‘menggedik’ juga bila berjumpa saya.

“Setakat ini, tak ada yang hantar mesej-mesej bukan-bukan. Kalau berjumpa depan-depan, ada yang cuba duduk rapat-rapat sampai kita rasa tak selesa. Ada yang cuba sentuh lengan dan sebagainya.

“Saya pun malas nak layan sebenarnya benda-benda begitu. Yang penting, mereka tahu hormat saya dan saya pun jagalah benda-benda begitu,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis perlancaran Restoran Ngam Ngam Neibourhood di Ioi City Mall 2 pada Rabu.

Namun, dia bersyukur kerana isterinya, Syarah Haifa sentiasa bersikap profesional.

“Bagaimanapun, isteri saya sangat professional dan ketika di luar, dia nampak okay sahaja. Namun, bila dah balik, ada kalanya dia agak cemburu juga bila saya terlebih mesra dengan peminat.

“Setakat ini, isteri saya tak pernah nak marah-marah sangat pun. Dia faham kerjaya saya. Namun, saya juga kini ada meletakkan batas.

“Kalau dulu saya sangat ramah dengan peminat lelaki dan perempuan tapi kini lebih berpada-pada. Peminat pun hormat sebab isteri pun selalu ada bersama saya,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, Aiman memaklumkan dia dan isteri kini masih di dalam proses membiasakan diri dalam transisi hidup berumah tangga.

“Walaupun baru enam bulan berkahwin, cabaran itu masih ada. Kami masih di dalam fasa mengenali. Bila dah duduk satu rumah, kita kena banyak bertolak ansur.

“Kadang-kala ada berlaku juga pertelingkahan. Saya pun dah pernah merasa tak tidur sama di dalam bilik. Dulu saya tengok mak ayah saya sahaja tapi sekarang saya laluinya,” akhirinya.

Sekadar informasi, Aiman dan Syarah telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 27 April lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf