Bina Cinta 5 Tahun Tapi Putus Tengah Jalan, Aliff Iskandar Reda – “Hidup Perlu Diteruskan, Lagipun Dia Sudah Ada Kekasih Baru.”

Share

Penyanyi baharu, Aliff Iskandar tidak mahu memikirkan soal cinta buat masa ini selepas menemui episod kegagalan dalam perhubungan yang terjalin sebelum ini.

Menurut Aliff, apa yang menjadi keutamaannya sekarang ialah masa depan kerjaya seninya sebagai penyanyi, penulis lagu selain mahu beri fokus sebagai pelajar di Institut Perguruan Ilmu Khas.

“Kita hanya mampu merancang, tapi Tuhan yang menentukan segalanya. Saya reda apabila hubungan saya berakhir tahun lalu. Ia berpunca daripada salah faham yang tidak boleh diselamatkan lagi.

“Saya reda apabila hubungan cinta selama lima tahun tidak mampu diteruskan. Saya okey dengan perpisahan ini kerana hidup perlu diteruskan.

“Lagipun dia sudah pun mempunyai kekasih hati baharu dan saya enggan memikirkannya lagi. Saya pun dah malas nak fikir soal cinta dan mahu fokus kerjaya terlebih dahulu,” katanya.

Dia bagaimanapun belajar daripada pengalaman seterusnya berharap dipertemukan wanita yang memahami satu hari nanti.

“Saya suka gadis yang boleh memahami dan terima kerjaya yang saya pilih ini. Sebagai manusia, kita mempunyai perasaan cemburu.

“Apatah lagi kerjaya seni banyak spekulasi ataupun perkara yang mendatangkan perasaan cemburu. Oleh itu, saya mahukan gadis yang benar-benar memahami kerjaya saya,” katanya yang akui ada menyelitkan kisahnya di dalam lagu yang dihasilkan.

Dalam pada itu, Aliff turut bersyukur kerana dia semakin diterima dalam seni dan akui masih dalam proses belajar untuk menjadi yang lebih baik.

“Banyak yang belum saya terokai. Sekarang saya mahu fokus membina kerjaya dan dalam masa sama, belum tamat belajar.

“Saya akan menamatkan pengajian dalam tempoh setahun setengah lagi. Jadi, saya mahu tolak perkara yang tidak penting untuk difikirkan,” katanya.

Aliff yang juga artis di bawah naungan Indigital Music akan muncul dengan single terkini berjudul Takdir.

Lagu itu akan menjadi runut bunyi bagi drama Saat Ku Tak Takluk Cinta Ini siaran TV3.

Published by
MH