Bintang Squid Game, Lee Jung Jae & Jung Ho Yeon Menang Pelakon Terbaik Kategori Drama Bersiri Di SAG Awards 2022

Share

Siri popular Netflix, Squid Game telah melakar sejarah baharu apabila kedua-dua pelakon utama drama bersiri itu berjaya menggondol dua anugerah utama Screen Actor Guild (SAG) Awards 2022. Lee Jung-Jae dan Jung Ho-yeon masing-masing dinobatkan sebagai pelakon lelaki dan pelakon wanita terbaik kategori drama bersiri.

Sebelum ini Squid Game telah pun mencipta sejarah tersendiri apabila ia menjadi drama Korea dan drama berbahasa asing pertama dicalonkan di SAG Awards.

Momen nama kedua-dua pelakon utama itu dipanggil untuk menerima anugerah, ternyata mengundang senyum dan juga air mata kebanyakan yang menghadiri majlis berprestij itu. Bagi Jung Ho-Yeon, saat Kemenangannya jelas menjadi detik yang penuh emosi baginya.

“Pertama sekali, terima kasih banyak-banyak. Saya telah duduk berkali-kali menonton anda semua yang berada di depan saya di skrin besar, mengimpikan suatu hari nanti menjadi seorang pelakon. Terima kasih kerana menjadikan mimpi dan membuka peluang kepada saya. Saya cuma nak ucapkan terima kasih banyak-banyak,” ujarnya sambil menitiskan air mata bercakap dalam bahasa Korean dan dibantu penterjemah.

Dia kemudiannya menyambung ucapan dalam bahasa Inggeris menyatakan penghargaan dan perasaan kasih kepada seluruh kru yang menjayakan Squid Game.

BACA JUGA: Oh Young Soo Menang Pelakon Terbaik Golden Globe 2022, Ogy Ahmad Daud Sifatkan Pelakon Hebat Tak Perlukan Jumlah Followers

Manakala untuk Lee Jung-Jae pula, dia berkata, “Terima kasih banyak-banyak. Ini benar-benar besar. Saya menulis sesuatu, tetapi saya rasa saya tidak sempat membacanya. Terima kasih banyak, Anugerah SAG. Terima kasih kepada penonton global atas semua cinta anda kepada Squid Game dan terima kasih untuk kru  Squid Game.”

Selain dua anugerah besar ini, Squid Game turut menang anugerah bagi kategori aksi cemerlang oleh ensembel lagak ngeri dalam siri televisyen.

Drama bersiri yang mencipta fenomena luar biasa itu telah menerima lebih 3 bilion minit tontonan setakat Oktober tahun lalu dan kini telah disahkan akan disambung untuk musim kedua.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
Fiezreen