“Boleh Jadi Lagi Teruk Kalau Kami Lambat Bertindak,” – Ana Nayla Kena Ekzema, Ayda Jebat Mahu Lebih Waspada

Share

Baru-baru ini, anak kepada pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir , Ana Nayla dilaporkan mengalami masalah kulit sehinga menyebabkan beberapa bahagian pada badan dan wajahnya menjadi kemerah-merahan.

Ayda ketika ditemui memaklumkan, puteri pertamanya itu telah diserang ekzema.

Jelasnya lagi, keluarga Nabil pula sememangnya mempunyai sejarah penyakit ekzema dan memerlukan pemantauan yang rapi.

“Kalau ekzema tu sebenarnya ada dalam darah Nabil. Nabil dan keluarga memang ada kulit yang sensitif. Macam Nabil dulu, dia alahan dengan kacang.

“Keluarga Nabil pula memang tak boleh makan makanan konservatif. Dekat rumah memang tiada perancah makanan, keropok dan minuman-minuman tin. Anak buah Nabil pun begitu. Kalau minum minuman bertin, memang akan dapat ekzema tu. Mungkin darah itu ada pada baby sekali,” katanya kepada MH.

Pada masa sama, penyanyi lagu Pencuri Hati ini turut memberitahu, pada awalnya, dia berasa amat terkejut kerana ini merupakan kali pertama anaknya itu diserang penyakit kulit.

“Pada mulanya saya sendiri tak tahu punca Ana kena ekzema. Kami cuba kenal pasti. Ketika itu, dia tak berapa sihat. Jadi, kami ada bagi makan ubat. Mungkin alahan pada ubat atau mungkin alahan terhadap makanan saya sebab dia menyusu badan.

“Pihak doktor pun tak tahu punca sebenarnya Ana boleh terkena ekzema. Jadi, kami cuba untuk hentikan semua perkara yang boleh buatkan kulitnya jadi sensitif.

“Kami berhenti makan seafood dan cuba bagi Ana makan ubat lain. Alhamdulilah semuanya kembali okay.

“Sewaktu mula-mula jadi tu, saya memang sangat terkejut sebab ini pengalaman pertama saya berhadapan situasi ini. Sebenarnya ia boleh jadi lagi teruk kalau kami lambat bertindak,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Nabil turut memuji tindakan pantas pihak doktor yang merawat penyakit anaknya itu sehingga keadaan kembali terkawal.

“Alhamdulillah, ekzema tersebut tidak lah sampai ke tahap yang teruk. Doktor pun bertindak cepat.

“Doktor minta kami cari satu ubat yang spesifik ini untuk melawan semula symptom tersebut. Alhamdulillah lepas sekali makan, kita boleh nampak dengan cepat perubahan Ana. Buat masa ini, semuanya dah kembali okay,” katanya lega.

Sebelum ini, Ayda dan Nabil berkongsi beberapa keping foto yang memaparkan keadaan Ana diserang penyakit kulit di akaun Instagram Ana Nayla.

Sekadar informasi, Ana Nayla merupakan cahaya mata pertama Ayda dan Nabil yang lahir pada 21 September 2021.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Kredit Foto: Instagram Ayda Jebat

Published by
Aizam Manaf