Nama penyanyi dan penghibur terkenal dalam industri seni tanah air, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad memang sentiasa mendapat tempat di hati peminat.
Lagu-lagu Allahyarham sememangnya sentiasa menjadi siulan ramai kerana lagu-lagunya yang sangat dekat di hati peminat.
Begitu juga dengan penyanyi utama kumpulan Azlan & The Typewriter, Nor Azlan Rosle yang mengatakan setiap kali mendengar lagu Allahyarham Sudirman ia seakan memberi kepuasan kepada dirinya.
Kata Azlan, walaupun dirinya tidak mengenali penghibur nombor satu negara itu secara peribadi namun Azlan mengakui bahawa karya dan lagu-lagu yang didendangkan oleh Allahyarham sentiasa dekat dengan dirinya.
Menurut Azlan, dia berpeluang untuk mencipta lirik lagu tema untuk filem Muzikal Hoore! Hoore! yang bertajuk Idola bersama Audi Mok. Semasa pembikinan lirik lagu tersebut, Azlan menjadikan Allahyarham Sudirman sebagai idola dan menjadikannya sebagai sumber inspirasi buat dirinya.
“Dia satu dalam sejuta dan tidak ada yang mampu menggantikan tempatnya. Walaupun saya tidak mengenali Sudirman secara peribadi, karya dan lagu-lagunya sentiasa dekat dalam diri saya,” katanya.
Azlan juga turut mengakui, sejak dari kecil lagi dia telah membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham Sudirman malah hampir semua ahli keluarganya juga meminati penyanyi tersohor itu.
“Boleh dikatakan hampir semua lagu yang didendangkan Sudirman mempunyai maksud mendalam. Ia juga memberi kesan kepada saya dan tidak dinafikan karya-karya Sudirman banyak mempengaruhi saya secara tidak langsung,” katanya.
Dari matanya pula, dia melihat Allahyarham Sudirman sangat ikhlas dalam berkarya dan itu juga telah menjadi contoh kepada setiap penggiat seni.
“Setiap lagunya menyentuh kehidupan masyarakat secara menyeluruh. Walaupun ada yang kata lagu didendangkan ada kaitan dengan kehidupan peribadi Allahyarham, sebenarnya perasaan dizahirkan dalam setiap karya boleh dikongsi oleh kita semua.
“Penghayatan Sudirman dalam setiap lagu didendangkannya sangat tinggi. Itu sebabnya kalau kita dengar lagu dendangannya, ia memberi kesan mendalam kepada kita semua.
“Contohnya lagu Salam Terakhir, kita boleh menangis kalau hayati dendangannya dan memahami setiap bait lirik didendangkan,” ujarnya lagi.
Sememangnya tidak dapat dinafikan setiap nyanyian Allahyarham Sudirman dapat menyentuh hati si pendengar kerana cara penyampaiannya yang benar-benar hidup.
Sumber: Harian Metro
[su_heading]Untuk perkongsian berita selebriti dan pengiklanan, boleh emelkan kepada editor.media@karangkraf.com atau hubungi 03-5101 7322. Ikuti kami juga di Facebook› Media Hiburan * Instagram› mediahiburanofficial * Youtube› Media Hiburan Official[/su_heading]
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI