Pengasas dan pemilik jenama Bulan Bintang, Azzim Zahid Ahmad menjelaskan ketiadaan dua pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad dah Beto Kusyairy sebagai duta Baju Melayu bagi tahun 2024 disebabkan kontrak yang tidak disambung.
Menurut Azzim atau lebih mesra disapa Meri, dia amat menghargai segala kerjasama yang telah dijalinkan sebelum ini selain turut menyifatkan jasa Beto dan Sharnaaz untuk jenamanya itu sangat besar.
“Kontrak memang sudah habis dan mereka bebas untuk pergi ke mana-mana. Saya tiada apa-apa isu dengan mereka. Mereka bekerja dengan sangat baik.
“Saya banyak terhutang budi dengan Sharnaaz dan Beto. Saya pun tak boleh nak ikat mereka sehingga akhir hayat. Mereka ada pilihan untuk ke mana-mana dan kami okay sahaja,” katanya kepada MH.
Meri berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pertunjukkan fesyen, ‘Bulan Bintang Terrrpaling Raya 2024’ yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Pada masa sama, Meri juga tidak terkilan apabila Sharnaaz dan Beto memutuskan untuk menjadi duta Baju Melayu bagi jenama pesaing.
“Saya memang sangat faham dan sepanjang sembilan tahun di dalam industri ini, saya pun sudah matang untuk melihat sesuatu perkara.
“Bila kontrak tamat, saya juga sudah bersedia untuk melihat meraka berada di mana-mana.
“Lebih-lebih lagi bila banyak jenama di luar sana yang mungkin sudah melihat impak mereka bersama Bulan Bintang menjadi.
“Secara logiknya, memang akan ada jenama yang turut mahukan mereka dan saya okay sahaja,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, anak muda berusia 27 tahun ini juga menafikan mempunyai masalah peribadi dengan dua pelakon tersebut.
“Sejujurnya saya memang tiada apa-apa masalah dengan Sharnaaz dan Beto. Buktinya, saya baru sahaja berkahwin pada bulan Disember lalu dan mereka turut hadir.
“Walaupun kontrak tamat, kita masih berkawan sehingga hari ini,” ulasnya.
Dalam pada itu, Meri juga amat berbesar hati dengan kehadiran pelakon, Remy Ishak sebagai duta baharu bagi Bulan Bintang.
“Setiap duta kami akan mewakili setiap jenis pakaian. Kita rasa Remy sesuai untuk mewakili baju Melayu Teluk Belanga.
“Dengan pasaran di Malaysia ini dan nampak wajah kemelayuan serta maskulin, Remy adalah orangnya,” akhirinya.
Berkongsi perkembangan mengenai
Bulan Bintang, Azzim berkata dia sudah berbelanja RM11 juta ringgit untuk kempen raya pada tahun ini.
Malah, usahawan itu memberitahu RM3.2 juta sahaja digunakan untuk cabutan bertuah kepada pelanggannya.
“Bajet tahun ni secara total sudah RM11 juta digunakan. Bajet nampak besar tapi RM11 juta tak seperti tahun lepas iaitu persembahan drone RM3 juta dan konsert RM2 juta. Ketika itu saya belanja untuk branding.
“Tapi tahun ini, RM3.2 juta sahaja dihabiskan untuk cabutan bertuah untuk beri kepada pelanggan,” katanya.
Untuk rekod, tahun 2024 jenama bulan bintang melantik enam orang duta iaitu Shukri Yahaya, Remy Ishak, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Hannah Delisha, dan Daiyan Trisha.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.