“Bro, Bila Nak Ajar Saya Nightline Pula…,” – Selalu Jadi Tempat Rujukan, Saiful Nizam Ismail ‘Cemburu’ Dengan Raymond Goh

Share

Pembaca berita, Nightline terbitan TV3, Raymond Goh dilaporkan telah meninggal dunia sekitar jam 10.40 pagi tadi.

Raymond Goh atau nama Islamnya, Muhammad Zaman Goh Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya, Selangor.

Sebelum itu, Allahyarham dilaporkan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Berita pemergian Raymond disahkan keluarga Allahyarham dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah hari tadi.

Antara yang turut menzahirkan rasa dukacita termasuklah pembaca berita dan personaliti televisyen, Saiful Nizam Ismail.

Menurut Saiful, hubungannya bersama Raymond memang rapat dan mereka sering berkongsi tawaran-tawaran kerja sebagai pengacara majlis.

“‘Bro, ada job. You free tak?’ & ‘Bro, bila nak ajar saya Nightline pula? Kita gilir-gilir.’ Itu antara dialog gurauan saya dengan Allahyarham Raymond.

“Acap kali inilah insan yang saya ketengahkan kalau ada klien yang bertanyakan voice over atau emcee di dalam Bahasa Inggeris. Tak ada orang lain. Hanya dia Raymond Goh,” tulisnya.

Dedikasi itu dikongsikan sendiri oleh bekas pembaca berita Buletin Utama itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Jelas Saiful lagi, Raymond juga sering menjadi tempat rujukan untuk memantapkan skil pengacaraannya.

“Antara insan yang selalu saya jadikan rujukan andai ada perkataan-perkataan di dalam Bahasa Inggeris yang saya tak berapa pasti untuk sebut.

“Dia juga yang mengajar saya apa itu projeksi suara dan salah satu bakat yang saya sangat cemburui adalah suaranya yang tiada galang ganti.

“My dear brother, berehatlah di dalam sana. Al-Fatihah,” kongsinya lagi.

Terdahulu, Jenazah Allahyarham Raymond telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, sekitar 5.30 petang.

Terdahulu jenazah Allahyarham dimandi dan dikapankan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, dan seterusnya disempurnakan solat jenazah di masjid itu.

Raymond memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 O’clock News dan kemudian beralih kepada siaran Nightline di stesen televisyen berkenaan.

Allahyarham telah berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan kini turut menjadi jurulatih untuk pengucapan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Saiful Nizam Ismail

Published by
Aizam Manaf