Brooklyn Beckham Cacah Tatu Baru Sebagai Kejutan Hari Jadi Tunangnya, Nicola Peltz

Share

Kisah percintaan Brooklyn Beckham dan Nicola Peltz bukan lagi asing bagi pengetahuan umum. Mereka yang bertunang pada Julai 2020 dilihat bahagia melayari kehidupan sebagai pasangan, tambahan pula kedua-duanya mendapat sokongan penuh daripada keluarga masing-masing.

Brooklyn,23, merupakan anak sulung kepada pasangan terkenal Victoria Beckham dan David Beckham. Dia mula bercinta dengan Nicola,27, yang merupakan seorang pelakon pada Oktober 2019 sebelum membuat hantaran rasmi di Instagram pada Januari 2020 sebagai pengumuman mereka sudah rasmi menjadi pasangan kekasih.

Kredit foto: Instagram Brooklyn Beckham

Terbaharu dalam satu hantaran di laman Instagram, Nicola menyatakan kegembiraan dan rasa terharu apabila tunangnya itu mencacah tatu sebagai kejutan hari jadi buatnya. Mengapakah tatu ini begitu istimewa?

Rupa-rupanya, Brooklyn mencacah tatu yang tertulis doa kegemaran mendiang nenek Nicola yang meninggal dua tahun lalu. Doa itu berbunyi, “Fokus pada masa kini, ikhlas terhadap orang lain dan percaya diri sendiri, tahu bahawa anda tidak boleh gagal.”

Cacahan tatu yang tertulis doa kegemaran nenek Nicola. Kredit foto: Instastory Nicola Peltz
Bersama keluarga besar masing-masing. Kredit foto: Instagram Brooklyn Beckham

Selain ‘menghadiahkan’ tatu sebagai lambang cintanya kepada tunangnya itu. Dalam hantaran Instagramnya pula, Brooklyn meluah rasa terhadap tunangnya itu dalam satu ucapan yang panjang.

Tulisnya, “Selamat hari jadi kepada wanita paling cantik di dunia. Saya merupakan orang paling bertuah di dunia kerana boleh menyatakan yang kamu milik saya. Saya jatuh cinta dengan kamu setiap hari dan tidak sabar untuk menua bersama dengan kamu. Saya harap kamu mendapat hari jadi yang paling bagus dan saya cintakan kamu sepenuh hati.”

Kredit foto: Instagram Brooklyn Beckham

Nicola pula dilihat membalas ucapan tersebut di ruangan komen dengan ucapan ringkas. “Saya cinta kamu sangat-sangat. Kamu adalah dunia saya,” tulis wanita yang memegang watak Katara dalam filem The Last Airbender ini.

Pasangan ini dikatakan bakal berkahwin dalam masa terdekat, namun tiada siapa mengetahui tarikh yang sebenar. Sebelum ini Brooklyn ada menyatakan  kepada portal Hell! yang hasrat mereka untuk berkahwin terpaksa ditunda akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

 

 

 

 

 

 

Published by
Fiezreen