Pelakon dan usahawan, Chacha Maembong mengakui sudah tiba masanya untuk dia menjalani kehidupan yang lebih baik, seterusnya cuba fokus dalam kerjaya seni dan bisnes yang diterokainya kini.
Mula melancarkan produk Perfect Look, Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aisyah Ismail, 24, turut menambah kisah sensasi yang pernah terpalit di dalam hidupnya sebelum ini menjadi pengajaran yang mematangkan diri.
Apatah lagi apabila mengenangkan adik-beradiknya yang lain sudah pun berkahwin dan mempunyai kehidupan sendiri.
“Saya sahaja yang masih belum berkahwin, jadi keadaan itu berlaku, saya merasakan ini bukanlah masa sesuai untuk main-main lagi. Adik-beradik perempuan lain ada kehidupan sendiri.
“Jadi bila sendiri ni, rasanya saya perlu menjadi individu yang ada hala tuju, punya masa depan dan bukan masanya untuk ‘have fun’ lagi.
“Saya anak bongsu. Dulu saya dan Emma sebelum berkahwin, kita selalu ‘buat hal’. Saya tahu kakak saya akan ada… I got my sisters. Lantaklah kalau orang nak cakap apa dan sebagainya.
“Tapi kini situasinya berubah. Sudah tiba masa untuk saya fokus dalam hidup. Pada masa sama, belajar untuk jadi individu yang lebih baik,” jelasnya kepada MH.
Bintang asal Terengganu ini juga tidak menolak transisi hidup kakaknya yang juga pelakon, Emma Maembong turut membuka ruang untuknya memandang jauh ke depan.
“Saya rapat dengan Emma, semua pun tahu. Bila dia sudah mendirikan rumah tangga, boleh dikatakan saya hilang kawan baik.
“Akan tetapi kami masih lagi bertemu, hampir setiap hari. Cuma situasi itu sudah pun berbeza. Perubahan itu bagaimanapun mengajar saya.
“Ia secara tak langsung sedarkan saya bahawa pada usia sekarang, saya sebenarnya sudah dibukakan rezeki olehNya, tapi saya tidak nampak.
“Apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah dan tidak pernah menyesal dengan apa yang dilakukan.
“Bagi saya dalam kehidupan, kita tidak boleh menyesal sebab apa yang sudah kita buat, ia tak boleh patah balik.
“Jadikan itu sebagai pengajaran untuk saya sendiri dan cuba berubah untuk jadi lebih baik,” katanya lagi.
Ikuti temu bual penuh bersama Chacha Maembong di sini;