“Buat Masa Sekarang, Saya Simpan Apa-Apa Komen Mengenai Isu Ini,” – Niezam Zaidi

Share

Satu perkongsian menerusi Instagram pelakon, Niezam Zaidi yang mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis AMP dan methamphetamine di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, pada Selasa mencuri perhatian ramai.

Menerusi hantaran buat tatapan umum itu, Niezam memohon maaf secara terbuka kepada semua.

Pelakon berusia 29 tahun ini menitipkan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan yang baik-baik buat dirinya.

“Assalamualaikum semua, Saya minta maaf jika ada salah dan silap saya pada kalian semua, saya minta maaf juga tidak dapat membalas satu-satu comment sahabat handai, media dan rakan2 seperjuangan melalui DM, whatsapp, call dan sebagainya.

“Alhamdulillah, syukur pada ALLAH di atas apa yang terjadi & Jutaan terima kasih juga pada kalian semua yang selalu mendoakan saya selama ini, semoga ALLAH merahmati kalian,” tulisnya.

Pada masa sama, Niezam tidak mahu memberi sebarang kenyataan atau mengulas lebih lanjut mengenai isu tular membabitkan dirinya.

“Buat masa sekarang, saya simpan apa-apa comment mengenai isu ini. Semoga kalian semua sihat sentiasa dan diberkati serta dirahmati,amin,” tulisnya lagi.

Terdahulu media melaporkan, Niezam bersama pengarah Mohd. Latiff Zami, 49 dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 47 telah ditahan pihak polis dalam satu serbuan yang dibuat di sebuah rumah desa di Kuala Kangsar pada 7.15 pagi Isnin.

Dalam serbuan tersebut, hasil ujian saringan air kencing yang telah dijalankan oleh pihak berkuasa mendapati pelakon dan pengarah itu positif dadah jenis THC atau Tetra Hydrocannibol manakala penolong pengarah pula didapati positif dadah jenis AMP dan methamphetamine.

Foto: Instagram Niezam Zaidi

Published by
Nazar Rafiqhi