“Buat Rakan Tercinta Iaitu Riot Dan Hairee…,” – Sertai Tabligh, Zack Akui Ada Terima Jemputan GV, Terpaksa Tolak

Share

Bekas anggota Kool, Zulkifli Mohamad atau lebih dikenali sebagai Zack Kool mendedahkan, tidak menyertai program Gegar Vaganza (GV) musim keenam kerana menyertai tabligh.

Malah, dirinya juga tidak lagi menjadi anggota kumpulan itu sejak tahun lalu.

Zack menerusi Harian Metro menjelaskan, dia cuba mencari kehidupan yang lebih baik dengan mendalami ilmu agama.

“Sebelum rancangan itu (GV) berlangsung, saya ada menerima jemputan namun terpaksa menolaknya.

“Buat rakan tercinta iaitu Riot dan Hairee, teruskanlah kehidupan seperti biasa dan jangan sesekali meninggalkan solat,” katanya seperti yang dipetik.

Zack bagaimanapun menjelaskan, biarpun dirinya sudahmenyertai kumpulan agama sejak awal tahun ini, namun itu tidak bermaksud dirinya mengasingkan diri daripada dunia seni.

Katanya, dia baru sahaja menjawakan drama berjudul Setiaku Di Sini bersama A Aida Production.

“Meniti penghujung usia, saya mahu berkarya melalui cara Islamik,” terang Zack yang turut menambah, seorang lagi anggota Kool, Jay kini menjaga bapa mentuanya yang sakit di Lendu, Melaka.

“Ini dunia baharu dan setakat ini, saya sudah keluar di tujuh lokasi untuk berkongsi ilmu agama termasuk Langkawi, Kuantan, Ipoh dan Johor Bahru,” akuinya.

Sementara itu, Zack juga memaklumkan dia juga sudah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Januari lalu.

Foto/Sumber: Harian Metro/Instagram Zack

Published by
MH