“Buat Yang Terbaik Pun Orang Kecam, Saya Tidaklah Kisah. Ini Periuk Nasi,” – Kaku Mengacara? Ini Jawab Hady Mirza

Share

Rakan hos Sherry Al Hadad menerusi program hiburan realiti, Dansa Dan Sing akhirnya terjawab apabila juara Gegar Vaganza 6 (GV6), Hady Mirza membuat kemunculan di Auditorium MBSA, Shah Alam lalu mengendalikan ia secara bersama hingga akhir rancangan.

Bagaimanapun, kredibiliti bintang asal Singapura ini dalam mengacarakan program berkenaan yang bersiaran secara langsung mendapat reaksi pelbagai peminat.

Tidak mahu menafikan perkara berkenaan, Hady sejujurnya akui wujud rasa gementar tambahan pula ia merupakan pengalaman pertama seumpamanya.

“Bila secara langsung tu, rasa gementar itu tidak dapat elak. Saya tidak tahu apa jangkaan dan bila diminta untuk panjangkan lagi percakapan saya tidak biasa.

“Berbeza dengan Sherry dan sudah tentulah saya banyak bergantung kepadanya.

“Saya yakin boleh buat yang lebih baik. Pertama kali kendali rancangan secara langsung sebesar ini dan sudah tentu tidak boleh jangka ia sudah yang terbaik,” katanya kepada MH.

Ditanya sejauh mana penerimaannya andai ada kecaman serta kritikan yang dilemparkan berdasarkan pengacaraannya untuk minggu pertama ini, Hady ada jawapan sendiri.

“Kalau buat yang terbaik pun orang kecam. Jadi saya tidaklah kisah. Ini periuk nasi. Alhamdulillah selepas Gegar Vaganza dapat rezeki lagi. Apa pun, saya lebih kepada menyanyi, mahu fokus untuk keluarkan lagu baru dan seterusnyalah.

“Bagi saya selagi ada permintaan, kita mesti cuba. Kalau tidak boleh maknanya tak ada rezeki di situ. Saya macam tu. Atas apa yang saya lakukan, saya cuba dan buat yang terbaik,” jelasnya lagi.

Terdahulu, seramai 10 penyanyi mengambil bahagian bersama ‘troopers’ pilihan masing-masing.

Atilia, Yasmin Hani & The Lola mendapat markah paling rendah keseluruhan dengan 5.14 peratus iaitu hasil undian online dan 54.17 peratus (juri profesional). Tiada penyingkiran untuk minggu pertama.

Dansa Dan Sing merupakan sebuah rancangan realiti terbaharu anjuran Astro yang menampilkan elemen seni tari dan nyanyian dalam sebuah program yang berkonsepkan pertandingan.

Juri tetap  Dansa Dan Sing terdiri daripada guru tari, Linda Jasmine dan pereka fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim, sementara Han Byul diundang sebagai juri jemputan bagi saingan minggu pertama.

Published by
Rafiq Mazlan