“Budak Jahat Disimpan, Budak Baik Pula…,” – Kes Buli & Nama Baik Sekolah, Ini Pandangan Rita Rudaini

Share

Pelakon Rita Rudaini, mengutuk gejala buli melibatkan murid-murid di sekolah.

Menurut Rita, hal ini hanya akan menimbulkan masalah yang lebih besar sekiranya tidak dibendung dan terus dipandang remeh.

“Sebenarnya di mana-mana sekolah pun ada buli ni. Tak kiralah sekolah asrama, sekolah harian dan juga kolej-kolej.

“Saya paling benci jenis orang yang mentaliti dia bila diajukan masalah-masalah macam ni, jawapan yang keluar dari mulut adalah ‘biasala asrama’ ‘tak pernah duduk asrama ke?’.

“Jawapan sebegini menunjukkan sikap orang tu yang malas nak guna otak untuk fikir dan selesaikan sesuatu pekara. Sama ada kecil atau pun besar,” tulisnya.

Pandangan itu disuarakan sendiri oleh pelakon filem Mami Jarum Junior itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Pada masa sama, ibu kepada dua orang cahaya mata ini turut kecewa dengan sikap segelintir pihak pengurusan sekolah yang menyembunyikan kes buli demi menjaga nama baik sekolah.

“Masalah tak akan selesai bila sikap pengurusan, PIBG atau muafakat sembunyi bawah karpet hanya untuk menjaga ‘nama baik’ sekolah. Budak jahat disimpan, budak baik yang akhirnya angkat kaki kluar.

“Sampai ke kiamat pun masalah buli ni tak akan selesai. Ni sikap sambil lewa dan tidak ada tanggungjawab. Kebanyakkannya sekarang, ini lah sikap sesetengah pengurusan sekolah.

“Belum dikira guru-guru pun sama naik buli budak-budak, fitnah dan bidap (bukan semua). Nak jaga nama baik sekolah bukan ini solusinya. Buang dan sapu benda-benda yang busuk ni,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Rita turut berpandangan tindakkan yang berat harus dikenakan kepada murid-murid yang terlibat di dalam isu buli di sekolah

“Kalau nak duduk dalam keadaan bersih, kalau sikap suka simpan sampah bwh karpet, lama-lama akan membusuk dan berulat.

“Pengurusan yang amalkan sikap begini harus di ‘bersih’ kan dulu kerana mereka bukan dari golongan manusia yg ada sikap tanggjawab pd sesuatu pekara.

“Bagi saya, kalau tunggak tu elok, bawah-bawah sampai ke ekor akan elok kejadiannya. Jangan simpan, buang sahaja sebab ada ramai lagi budak-budak yang btul-betul nak belajar tapi tak dapat peluang,” ulasnya lagi.

Sementara itu, Rita turut menzahirkan rasa syukur kerana kejadian seperti itu tidak berlaku kepada anaknya yang kini sedang menyambung pengajian di Maktab Rendah Sains Mara, Sungai Besar, Selangor.

“Alhamdulillah sekolah anak-anak saya dipimpin oleh orang yang berjiwa pendidik, penyayang dan sagat berwibawa. Moga Allah memberkati semua pendidik dan pelajar-pelajar di sana,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

 

Published by
Aizam Manaf