Uncategorized

“Budak Kecil Pun Panggil Saya Sarjan Misai” – A. Galak

Share

PELAKON A. Galak atau pemilik nama sebenar, Zakaria Ahmad, 76, mengakui tidak pernah merancang untuk terlibat dalam bidang seni meskipun ibunya, Rokiah Jaafar merupakan bintang filem terkenal era 1950an.

Lahir di Johor Bahru dan kemudiannya dibesarkan di Singapura, A. Galak terdedah dengan dunia seni apabila sering mengikuti ibunya dan bapanya yang bekerja di Studio Jalan Ampas, Singapura.

“Saya bekerja di Studio Jalan Ampas secara tak sengaja apabila sahabat saya, Mat Zain (Labu Labi) yang ketika itu bekerja di bahagian penyediaan mekap dan pakaian minta saya menggantikan jawatannya di situ kerana dia mahu menjadi pelakon.

 

“Bila dah kerja di situ, saya sering ditawarkan jadi pelakon tambahan bila produksi tak cukup orang atau menggantikan pelakon yang tak datang dengan bayaran SD$4.50.

 

“Masa tu saya buat bukan sebab minat tapi kerana nak tambah duit poket untuk beli pakaian dan bergaya macam anak muda lain,” katanya yang pernah muncul dalam filem Aksi Kucing.

Bagaimanapun penglibatannya secara serius dalam lakonan hanya bermula sekitar tahun 1960an apabila diminta pelakon Saadiah untuk mengisi salah satu watak dalam sebuah persembahan drama pentas di Mersing.

“Saya kenal ramai pelakon-pelakon lama di Studio Jalan Ampas kerana mereka seangkatan dengan ibu saya seperti Saadiah, Kasma Booty dan lain-lain..

 

“Saadiah banyak mengajar saja berlakon, menari dan juga menyanyi sehingga minat dalam bidang seni itu timbul secara perlahan-lahan malah bakat saya saya mula dilihat apbila mendapat tawaran berlakon drama TV Singapura sebagai watak utama.

 

“Saadiah jugalah yang mencadangkan saya menggunakan nama gelaran saya sejak kecil, Galak sebagai nama pentas namun ditambah huruf ‘A’ pada pangkal sebagai tanda nama nama bapa saya, Ahmad,” jelasnya.

Selepas penutupan Studio Jalan Ampas pada tahun 1967, A. Galak pulang ke kampung halaman ibunya di Gemas, Negeri Sembilan untuk beberapa tahun sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur dan kembali bergelar pelakon sekitar tahun 1980an.

Hubungan yang baik dengan pelakon-pelakon lama memberikan kelebihan kepadanya apabila Datuk Aziz Satar mempelawanya untuk kembali terlibat dalam bidang seni.

“Arwah Datuk Aziz ajak saya berkerja jaga konti di syarikat produksinya dan dalam masa yang sama memberi galakan kepada saya untuk sambung berlakon.

 

“Alhamdulillah rezeki tambah murah apabila penerbit Sabah Film, Deddy M. Borhan tawarkan saya bawa watak pembantu sebagai bapa kepada Jamal Abdillah dalam filem Azura (1984) dan sejak itulah saya mula dikenali ramai.

 

“Ketika ini jugalah saya mula mengenali Datuk Yusof Haslam yang masih lagi bergelar pelakon baru dan kami kemudiannya berkawan baik apabila saya mencadangkan namanya kepada penerbit untuk diangkat sebagai pelakon utama dalam sebuah drama swasta yang baru bermula ketika itu,” imbasnya.

Sahabat baik Datuk Yusof Haslam

Menurutnya lagi, ketika itu bukan mudah untuk seseorang bergelar pelakon kerana tidak banyak peluang yang diperolehi sementelah bilangan syarikat produksi juga terhad.

“Dulu peluang berlakon tak banyak, kalau ada pun ia sering diisi oleh pelakon-pelakon yang sudah ada nama dan mendapat kepercayaan dari pihak produksi sedia ada.

 

“Jadi bila sekali dapat peluang, semua orang nak buat sungguhs-sungguh kerana kami berlakon bukan sebab nak kejar populariti tapi lebih kepada minat dan sumber pendapatan untuk tanggang keluarga,” katanya pernah membintangi filam Darah Satria (1983).

Hubungan persahabatan dengan Datuk Yusof Haslam yang kini sudah mengjangkau lebih 35 tahun itu juga sebenarnya banyak menyimpan cerita yang tersendiri di antara mereka berdua termasukan kesinambungan kerjaya seni A. Galak sebagai pelakon.

“Selepas Datuk Yusof ada produksi sendiri, kami semakin banyak menjalinkan kerjasama baik menerusi filem mahupun drama di mana saya banyak terlibat sebagai pelakon.

 

“Dari drama Remang Remang Kota Raya sehinggalah yang terbaru, filem Abang Long Fadil 2, saya masih lagi berlakon dengan Skop Production sehinggakan ada yang salah anggap saya sain kontrak mati bersama Datuk Yusof.

 

“Sebenarnya saya tidak pernah terikat dengan Skop, malah Datuk Yusof memberi laluan jika saya mahu terlibat dengan produksi lain, tetapi disebabkan kerja yang bersambungan dengan Skop membuatkan saya tak sempat nak ambil tawaran lain,” katanya jujur.

Turut dikenali sebagai Sarjan Misai, A. Galak menyimpan banyak kenangan manis dengan para peminat yang rata-ratanya menyukai imej kepolisan yang cukup sinonim dengan dirinya.

“Nama Sarjan Misai ini diperoleh ketika berlakon Remang Remang Kota Raya,di mana Datuk Yusof meminta saya menyimpan misai yang melentik untuk disesuaikan dengan watak saya sebagai anggota polis.

 

“Semenjak itu imej tersebut kekal sehingga ke hari ini malah tanpa saya sedari ia menjadi trademark sehingga ke hari ini, sampaikan budak-budak kecil pun panggil saya Sarjan Misai.

 

“Kemana-mana saya pergi, ramai yang menyangkakan saya adalah anggota polis sebenar dan mereka begitu menghormati saya sehingga saya banyak mendapat kelebihan dari imej ini,” katanya yang merupakan antara pelakon utama drama Gerak Khas yang kini sudah masuk 18 tahun siarannya.

Tidak pernah berhasrat untuk mengundur diri dari bidang seni, bapa kepada lima orang anak, 14 cucu dan dua cicit ini sentiasa bersemangat untuk berlakon selagi kudratnya masih ada.

Published by
Wawann Mohd