Hiburan

Budaya Buli Antara Pelakon Senior & Junior Normal? Alif Muhaimin Terkilan! – “Kita Diminta Sabar Dan…”

Share

Pelakon Alif Muhaimin, mendakwa budaya buli di antara pelakon senior dan junior masih lagi berlaku sehingga hari ini.

Menurut Alif atau nama sebenarnya Alif Muhaimin Abdul Rahman, perkara ini seolah-olah sudah dinormalisasikan hanya kerana ia berlaku sejak zaman berzaman.

“Saya pernah nampak situasi itu berlaku depan mata. Gejala buli di set penggambaran itu memang ada. Memang biasa sangat berlaku politik di antara pelakon senior dan junior.

“Ada satu kejadian, saya nampak pelakon senior nak buli pelakon baharu yang ketika itu membawakan watak utama.

“Bagi pelakon senior tersebut, pada zaman dia, setiap pelakon baharu itu mesti kena buli. Dia nak pelakon sekarang pun kena rasa hal yang sama. Bagi saya, perkara ini tidak betul,” katanya kepada MH.

Juara Hero Remaja 2017/18 ini berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Sebelum Titik Noktah, baru-baru ini.

Dakwanya lagi, sesetengah pelakon senior ini
dilihat seakan gemar untuk menjatuhkan motivasi para pelakon baharu, lebih-lebih lagi ketika penggambaran sedang dijalankan.

“Ada kalanya, kita akan dapat dialog yang panjangnya tiga hingga empat muka surat. Kita akan mudah rasa anxiety dan pressure untuk habiskan dialog tersebut.

“Bila kita hampir berjaya membawakan dialog itu ketika penggambaran, pada bahagian akhir, pelakon senior itu akan tiba-tiba tergelak. Kemudian, kita kena ulang semula babak dari awal.

“Ada juga yang menukar gaya lakonan sewaktu rehearsal dan penggambaran sebenar. Bila hal itu terjadi, pelakon baharu akan susah nak berikan respon.

“Jadi, mereka akan letakkan kesalahan itu kepada pelakon baharu ini. Mereka juga akan memerli. Padahal dia yang lupa skrip,” ujarnya lagi.

Disebabkan hal tersebut, Alif memaklumkan ramai pelakon baharu yang mengalami tekanan emosi sehingga ada yang mahu melupakan impian mereka bergelar anak seni.

“Sebab itu ramai pelakon-pelakon baru mudah rasa tertekan dan anxiety. Banyak yang meluahkan rasa sedih di media sosial. Mereka tiada motivasi lagi nak berlakon.

“Perkara-perkara seperti inilah yang mengganggu emosi sesetengah pelakon,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, Alif akui agak terkilan apabila situasi ini masih dipandang remeh lebih-lebih lagi daripada penggiat seni itu sendiri.

“Bila hal ini terjadi, orang-orang industri menganggap ia perkara normal. Ada yang kata, mereka dulu pun kena buli juga.

“Mereka tidak akan menegur perbuatan artis-artis lama ini sebaliknya mereka minta artis baharu ini bersabar dan jangan cepat ‘koyak’.

“Kata mereka, nak masuk bidang lakonan ini kena kuat mental dan fizikal,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Kredit Foto: Instagram Alif Muhaimin

Published by
Aizam Manaf